SYDNEY – Pihak berkuasa Australia merampas sejumlah dua tan dadah jenis methamphetamine atau syabu bernilai sekitar AS$1.1 bilion (RM4.9 bilion), lapor stesen penyiaran NBC News kelmarin.
Dadah tersebut disembunyikan dalam jubin marmar yang dihantar dari Asia Barat menuju ke Sydney dalam rampasan syabu yang disifatkan polis sebagai terbesar pernah direkodkan di Australia.
Polis telah menahan tiga lelaki susulan penemuan dadah berkenaan seberat 747 kilogram awal bulan ini yang disembunyikan di dalam 24 buah kontena semasa tiba di Pelabuhan Botany Sydney.
Sebahagian lagi syabu dengan berat 1,060 kg pula ditemui dalam 19 kontena yang tiba di pelabuhan sama minggu lalu.
Kesemua syabu itu disembunyikan menggunakan kaedah sama dengan keseluruhan dadah itu dihantar dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Polis menganggarkan kesemua dadah itu bernilai sekitar AS$1.1 bilion di pasaran gelap. Ia mencerminkan harga lebih tinggi yang dibayar oleh warga Australia untuk mendapatkan bekalan syabu berbanding pengguna di kebanyakan negara lain.
Ketua Detektif Polis, Supritendan John Watson menggambarkan kuantiti syabu yang dirampas sebagai mengejutkan.
“Rampasan ini akan memberi kesan untuk tempoh beberapa minggu akan datang yang menyaksikan banyak pembekal peringkat tinggi, pertengahan dan rendah terputus bekalan syabu,” kata Watson.
Tiada tangkapan lanjut dibuat sejak rampasan pada minggu lalu itu. Pasukan penyiasat kini mengalihkan perhatian mereka untuk mengenal pasti pembekal dari luar negara.
“Rantau Asia Barat menjadi tumpuan utama kami. Namun, saya pastinya tidak akan mengehadkan siasatan kami kepada kawasan tersebut sahaja,” tegas Watson.
Ketiga-tiga lelaki yang sudah ditahan masing-masing berumur 24, 26 dan 34 tahun.
Mereka berdepan hukuman penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan mengedar dadah. Ketiga-tiga suspek telah dihadapkan ke mahkamah, manakala permohonan ikat jamin mereka ditolak.
Rekod rampasan syabu di Australia iialah 1.8 tan dengan dadah berkenaan disembunyikan di dalam pembesar suara dan dihantar ke Melbourne dari Bangkok pada April 2019. – Agensi