PETALING JAYA – Sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2022, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengajak seluruh Keluarga Malaysia bersama-sama mempertahankan kemerdekaan yang telah diperjuangkan oleh wira-wira terdahulu.
Pesanan tersebut dikeluarkan Ismail Sabri menerusi satu klip video yang dimuat naik di laman Facebooknya sebentar tadi.
Menurut beliau lagi, atas rasa cinta kepada negara, Keluarga Malaysia juga perlu terus bekerjasama dan bersatu padu demi membangun serta menjaga kedaulatan negara.
“Selamat Hari Kebangsaan 2022. Keluarga Malaysia Teguh Bersama. Merdeka! Merdeka! Merdeka!,” katanya.
Sambutan Hari Kebangsaan 2022 yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ akan diadakan pada Rabu ini di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Acara pada 31 Ogos akan dimulakan dengan ketibaan rasmi pembesar negara, sebelum keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riíayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, dengan menaiki kereta kuda diraja.
Ia diikuti lintasan hormat pesawat membawa Jalur Gemilang serta tembakan 14 das meriam yang menjadi antara acara tradisi sambutan Hari Kebangsaan.
Jumlah kontinjen yang dijangka terbabit perarakan kali ini bertambah apabila untuk pertama kali 27 kementerian menghantar kontinjen masing-masing selain penyertaan agensi unit beruniform dan pihak swasta yang menjadikan secara keseluruhan peserta hampir 16,000 orang.-KOSMO! ONLINE