KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu mengumumkan 11 September depan sebagai cuti peristiwa sempena kejayaan Terengganu FC (TFC) mara ke perlawanan akhir Piala FA.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, cuti peristiwa terbabit bagi memudahkan rakyat negeri itu yang bakal melakukan perjalanan jauh ke Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk menyaksikan aksi terbabit.
“Bagi memberikan keselesaan perjalanan pulang dan memastikan penyokong Terengganu tidak terburu-buru di atas jalan raya, kerajaan negeri (Terengganu) bersetuju mengisytiharkan 11 September depan sebagai cuti peristiwa.
“Susun dan atur masa perjalanan pulang dengan baik tanpa perlu tergesa-gesa,” katanya di sini hari ini.
Perlawanan akhir Piala FA antara TFC menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) berlangsung sehari sebelumnya iaitu 10 September sedangkan keesokannya iaitu Ahad merupakan hari bekerja bagi Terengganu.
Ahmad Samsuri berkata, penyokong tegar skuad Sang Penyu diseru mengutamakan keselamatan diri sepanjang dalam perjalanan pergi dan pulang menyaksikan aksi terbabit.
Beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu turut berharap penyokong TFC dapat menunjukkan adab dan akhlak baik dengan tidak melibatkan diri dalam sebarang insiden tidak sepatutnya sepanjang menyaksikan perlawanan akhir Piala FA tersebut.
TFC yang dikemudi pengendali, Mohd. Nafuzi Zain mara ke pentas akhir Piala FA selepas menumpaskan Selangor FC menerusi penentuan sepakan penalti pada saingan separuh akhir. – KOSMO! ONLINE