IPOH – Satu polisi baharu perlu diwujudkan bagi menyelesaikan kemelut perumahan generasi kedua yang dihadapi peneroka Felda di negeri ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, satu pertemuan bersama Ketua Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Perak dan pihak Felda perlu diadakan dalam mencari penyelesaian bersama.
Menurut Saarani, isu perumahan generasi kedua Felda ini telah lama wujud ekoran terikat dengan Akta Penempatan Berkelompok (GSA) 1967 yang perlu disemak semula.
“Ini kerana sejak dahulu lagi timbul masalah membina rumah generasi kedua ini kerana peruntukan dalam GSA menetapkan hanya sebuah rumah boleh dibina dalam satu plot tapak.
“Di kampung tradisional, keliling rumah ibu bapa, ada rumah anak-anak boleh dibina, tetapi keadaan ini berbeza di penempatan Felda, tidak boleh dibuat begitu kerana terikat dengan GSA.
“Jadi untuk membolehkan pembinaan rumah generasi kedua, kena ada satu polisi yang memerlukan kerjasama dan persefahaman antara kerajaan negeri, Ketua Pengarah PTG Perak dan Felda,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas hadir pada Program Mesra Bersama Peneroka Felda Negeri Perak di Laman Seri Ridzuan di sini hari ini.
Mengulas lanjut Saarani berkata, kerajaan negeri akan memanggil semula PTG untuk duduk berbincang mengenai pindaan dan semakan GSA terbabit.
Beliau berkata, buat masa ini terdapat 17 tanah rancangan Felda di Perak dan terdapat permintaan agar rumah generasi kedua dapat dibina di tapak sama. – KOSMO! ONLINE