GEORGE TOWN – Masalah banjir yang membelenggu lebih 300 penduduk di kawasan Van Praagh di Jelutong di sini sejak 30 tahun lalu bakal selesai selepas projek tebatan banjir di Solok Van Praagh siap sepenuhnya dua tahun lagi.
Pengerusi Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata, projek berkenaan yang bernilai RM5.71 juta mula dilaksanakan pada 1 Jun lalu dan dijangka siap pada 31 Mei 2024.
“Kawasan banjir kritikal yang di kesan sering berlaku adalah di kawasan rendah seperti di Solok Van Praagh, Persimpangan Jalan Van Praagh, Jalan Sir Ibrahim, Lengkuk Hijau dan Lintang Slim.
”Projek ini dijangka menyelesaikan masalah banjir yang dihadapi lebih 300 penduduk di kawasan Van Praagh sejak berpuluh tahun lalu,” katanya pada sidang akhbar ketika meninjau projek tebatan banjir di Solok Van Praagh, di sini hari ini.
Menurut Zairil, objektif utama projek tebatan banjir itu adalah untuk mengurangkan risiko banjir di sekitar kawasan perumahan Solok Van Praagh dengan menyediakan aras perlindungan banjir kepada penduduk setempat.
“Sekitar tahun 2020 kawasan ini mengalami banjir yang teruk sehingga mencecah aras lutut dan sekiranya hujan kawasan ini pasti dilanda banjir kilat.
“Sebelum ini juga kita ada melaksanakan projek pembesaran parit dan mendalamkan longkang-longkang namun masih belum dapat menyelesaikan masalah banjir di sini,” katanya.
Tambahnya, projek itu melibatkan kolam takungan banjir bawah tanah berkapasiti 5,175 meter (m) persegi dengan keluasan 2,200 meter persegi serta 2.6 meter dalam. Saiznya menyamai dua buah kolam renang Sukan Olimpik. -KOSMO! ONLINE