fbpx

Langgar babi hutan, pasangan cedera dapat pampasan RM2,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JASMIN menunjukkan kesan bekas kecederaan dialaminya selepas merempuh seekor babi hutan pada Mac tahun lalu.

ALOR SETAR – Pengalaman bertembung dengan babi hutan semasa menunggang motosikal adalah detik yang tidak dapat dilupakan Jasmin Yusuf, 40, hingga isterinya, Siti Hajar Awang Saidin, 34, dari Kampung Bukit Larek di Pokok Sena, dekat sini terpaksa mendapat rawatan di hospital.

Menurut Jasmin, kejadian itu berlaku pada pukul 8.30 malam, Mac 2021 semasa mereka hendak ke kedai membeli barang dapur.

Katanya, semasa sampai di Jalan Bukit Tembaga, di sini tiba-tiba seekor babi hutan keluar dari hutan dan terus melintas jalan yang gelap.

“Saya tidak sempat mengelak kerana jaraknya terlalu dekat hingga saya terpaksa melanggar babi itu dan menyebabkan isteri tercampak ke hadapan. Saya pula terjatuh di sebelah kanan dan nasib baik pada masa itu tiada kenderaan lain di belakang.

“Akibat kejadian itu saya terpaksa meminta bantuan rakan yang tinggal berdekatan untuk membawa isteri yang parah ke Hospital Kuala Nerang. Tulang rusuk isteri saya patah menyebabkan dia terpaksa ditahan di hospital selama seminggu,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

KEADAAN kaki kiri Hafizul Hafiz selepas dipatuk ular senduk di sawah di Titi Bakong, Yan tiga minggu lalu.

Menurut Jasmin, selepas kejadian itu dia dan isteri telah mendapat pampasan sebanyak RM2,000 daripada Jabatan Perlin­dungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Sementara itu, seorang pesawah, Hafizul Hafiz Abdul Halim, 35, yang nyaris maut selepas dipatuk ular senduk ketika sedang bekerja di sawah di Kampung Titi Bakong, di Yan pada 8 Ogos lalu kini sedang dalam permohonan pampasan Kumpulan Wang Amanah Bantuan Mangsa Sera­ngan Binatang Buas (KWABMSBB).

Dia yang berasal dari Kampung Pekan Teroi, di sini, dipatuk ular berbisa di kaki kiri ketika sedang mengepam air ke sawah kira-kira pukul 6.50 petang.

Isteri Hafizul Hafiz, Nur Baisyatul Amira Abidin, 33, berkata, suaminya kini semakin pulih dan sudah berjalan seperti ­biasa sejak Rabu lalu berbanding hanya berkerusi roda sebelum ini.

“Keadaan suami saya sekarang semakin pulih cuma kesan luka akibat patukan ular sahaja yang belum sembuh sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi semalam.

Dalam pada itu, Nur Baisya­tul berkata, mereka kini sedang dalam proses untuk mendapatkan pengesahan laporan kesihatan daripada pihak Hospital Yan bagi membuat permohonan pampasan KWABMSBB.

Katanya, mereka mengetahui mengenai pampasan KWAB­MSBB tersebut selepas dimaklumkan oleh ketua unit pesawah suaminya baru-baru ini. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI