LUSAKA, Zambia – Seorang wanita di Zambia dijatuhi hukuman penjara tiga tahun selepas cuba memotong kemaluan suaminya semasa sedang tidur, lapor akhbar Daily Star semalam.
Berdasarkan perbicaraan mahkamah, Jimmy Ngulube, 43, dikatakan terbangun ketika tengah malam pada 4 Ogos lalu dengan rasa sakit pada pangkal paha.
Dia melihat isterinya, Given Chilufya sedang berdiri sambil memegang pisau dengan kesan darah dan mengancam untuk membunuhnya.
Pasangan itu tidur selepas bertengkar apabila Chilufya, 37, menuduh suaminya curang terhadapnya. Wanita itu kemudian bangun pada waktu malam dan memutuskan untuk membalas dendam.
Mangsa menghubungi abangnya untuk membawanya ke hospital, di mana kecederaan paling teruk itu telah dirawat.
Polis turut dimaklumkan mengenai kes tersebut dan Chilufya kemudian ditahan.
Pada 26 Ogos lalu, Hakim Mahkamah Majistret Kapiri Mposhi, Arnold Kasongamulilo menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun ke atas Chilufya kerana mencederakan suaminya.
Chilufya memohon hukuman untuk diringankan tetapi hakim menegaskan bahawa dengan menyerang dan mencederakan suaminya seperti yang dilakukan, dia telah menunjukkan niat yang jelas untuk membunuhnya. – Agensi