KELIBATNYA sebagai penghias televisyen sudah lama tidak kelihatan.
Bukan disebabkan sudah meletak noktah ataupun merajuk daripada meneruskan kerjaya sebagai pelakon, namun pemilik nama pentas Karl Shafek itu sebenarnya jarang menerima tawaran tidak seperti suatu ketika dahulu.
Akuinya, mungkin sesetengah pengarah mahupun produser sudah beranggapan dia tidak lagi berminat meneruskan kerjaya dalam bidang seni.
Bercakap kepada Pose, pemilik nama sebenar Khairul Shafek Ibrahim itu sebaliknya mengakui, tidak pernah mengumumkan untuk mengundurkan diri dari bidang lakonan mahupun pengacaraan.
Namun dia akur apabila bidang yang selama ini telah banyak membina namanya dalam dunia seni sudah tidak lagi memihak kepadanya.
Enggan lagi memendam rasa, lelaki berusia 42 tahun itu berterus-terang, sangat rindukan kerjaya lakonan yang sudah lama ditinggalkan.
“Saya sangat rindu dan sayangkan kerjaya sebagai pelakon dan pengacara. Saya tidak pernah mengumumkan akan bersara. Namun saya akui sudah jarang menerima tawaran.
“Mungkin mereka (pengarah atau produser) beranggapan saya sudah tidak lagi berminat untuk meneruskan kerjaya dalam bidang seni,” jelasnya.
Pentas fesyen
Biarpun tidak lagi aktif dalam lapangan hiburan, Karl tidak hanya berdiam menunggu rezeki datang bergolek.
Kini, dia juga semakin sibuk membangunkan perniagaan jenama fesyen, Neonate Clothing Company yang diusahakan sejak 2019.
“Memang saya pernah hilang seketika dari radar dunia seni hiburan selama beberapa tahun untuk berehat, termasuk ketika dunia dilanda pandemik Covid-19 pada 2020.
“Jadi saya diamkan diri sekejap dan memberikan tumpuan terhadap jenama fesyen,” jelasnya.
Biarpun mempunyai label pakaian sendiri, Karl masih menjadikan kerjaya pengacara sebagai keutamaan selain lakonan.
Ujar anak kelahiran Pahang itu, kalau diikutkan tahun ini dia bercadang mahu membuat kemunculan semula, namun terpaksa menangguhkan impian tersebut atas faktor kekangan waktu.
“Sepatutnya tahun ini saya mahu membuat kemunculan semula.
“Namun atas komitmen bisnes seperti jenama fesyen dan perniagaan restoran, Dulang Kafe, saya perlu berikan tumpuan terhadap perkara itu terlebih dahulu.
“Insya-Allah mungkin tahun depan saya akan kembali aktif dalam kerjaya seni. Sekarang pun pasukan saya semakin besar. Bila masing-masing sudah faham kerja, segalanya akan menjadi lebih mudah,” jelasnya.
Ditemui usai pertunjukan fesyen Neonate Clothing Company di Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2022 (KLFW2022) di Pavilion Bukit Bintang, baru-baru ini, Karl bersyukur sekali lagi dijemput untuk menjayakan program tahunan tersebut.
“Alhamdulillah sudah enam kali saya menyertai KLFW. Pada tahun ini, saya bersama rakan baik, Syahir Hamdan mendapat slot pertunjukan solo.
“Saya akui bukan mudah untuk melakukannya. Namun saya sanggup menyahut cabaran dengan mengetengahkan koleksi vintaj yang diberi nama Neostalgia.
“Menerusi koleksi kali ini, kami menampilkan 50 gaya Neostalgia dan kami membawa 40 orang model, 10 wajah ilham (muse) dan dua orang supermodel mewakili jenama kami di pentas peragaan,” katanya.
Antara selebriti yang terlibat sebagai wajah ilham jenama tersebut adalah Datuk Aznil Nawawi, Puteri Balqis, Dolla, Nam Ron, Norreen Iman dan Tengku Azura.