SERDANG – “Sesungguhnya hari ini pasti amat menggembirakan saya, sebenarnya saya sudah lama tak seronok macam hari ini, macam-macam masalah yang timbul”.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, meluahkan rasa gembiranya ketika Majlis Perasmian Perhimpunan Perdana Sempena Sambutan 60 Tahun Jabatan Kemajuan Masyarakat di MAEPS di sini hari ini.
Beliau turut mengakui sudah lama tidak berasa seronok apatah lagi berdepan pelbagai masalah sejak kebelakangan ini.
Ismail Sabri menambah, masalah itu telah hilang apabila bersua muka dengan warga Kemas itu.
“Tapi hari ini hilang semua masalah semua masalah yang timbul,” ujarnya.
Sementara itu, Ismail Sabri turut menyatakan, beliau sudah lama merindui untuk bersama-sama warga Kemas kerana pernah menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar agak lama.
“Bersama warga kemas yang saya kira merupakan barisan hadapan dalam menyokong segala yang dilakukan oleh kerajaan.
“Cuma dari segi sejarahnya satu ketika Kemas hilang dari pandangan mata masyarakat, kita tahu kenapa, ada orang diberi amaran pilihan antara dua hendak berkemas keluar atau hendak tinggal dalam Kemas,” ujarnya lagi. – KOSMO! ONLINE