BANGKOK – Seorang wanita warga emas terbunuh akibat dipijak gajah liar dalam kejadian di sebuah kebun getah di wilayah Chachoengsao, timur Thailand, lapor laman berita Thaiger kelmarin.
Pada pukul 9 malam (waktu tempatan) Khamis lalu, pegawai dari Balai Polis Tha Takiap mendapat laporan bahawa seorang mangsa terbunuh, manakala dua lagi cedera akibat diserang seekor gajah liar dekat takungan air Khlong Si Yat, kampung Nong Rua.
Polis dan anggota penyelamat daripada Perkhidmatan Penyelamat Phanom Sarakham bergegas ke lokasi kejadian.
Mereka menemui mayat Samran, 73, dalam keadaan terlentang. Beberapa tulang mangsa patah akibat dipijak oleh gajah liar itu.
Anak perempuan Samran, Sureeporn, 43, dan cucu perempuan mangsa, Charanporn, 19, juga dipijak gajah itu. Kedua-dua wanita itu sedar dan boleh bercakap tetapi cedera parah pada bahagian belakang badan dalam serangan itu.
Pasukan penyelamat membawa Sureeporn dan Charanporn ke Hospital Tha Takiap untuk menerima rawatan.
Kedua-dua wanita itu memberitahu polis bahawa mereka membawa Samran ke wilayah Parchin Buri untuk menerima rawatan mata pada waktu siang.
Ketika memandu pulang, keadaan jalan menjadi berlumpur dan basah akibat hujan. Mereka kemudian meninggalkan kereta dan memutuskan untuk pulang dengan berjalan kaki.
Mereka menggunakan lampu pada telefon bimbit ketika melalui kebun getah untuk menuju ke rumah dalam jarak 500 meter. Setelah berjalan sekitar 300 meter, mereka terserempak gajah liar itu.
Gajah itu menyerang mereka tetapi Sureeporn dan Charanporn sempat melarikan diri walaupun mengalami kecederaan. Oleh kerana tua dan lemah, Samran tidak dapat melarikan diri.
Mayat Samran telah dibawa ke Hospital Tha Takiap untuk bedah siasat. – AGENSI