LIVERPOOL – Liverpool memastikan kebangkitan semula dengan cara paling sempurna apabila membelasah Bournemouth 9-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield sebentar tadi.
Pada perlawanan itu, anak-anak buah Jurgen Klopp nyata lebih baik dalam kedua-dua babak dan kemenangan besar tersebut menjadi modal untuk menutup segala kritikan serta kebimbangan terhadap prestasi semasa pasukannya.
Dominasi yang dipamerkan sepanjang 45 minit pertama menyerlahkan kualiti sebenar Liverpool ketika memulakan perlawanan dengan langkah kanan hingga terhasilnya dua gol pantas dalam tempoh enam minit.
The Reds terlebih dahulu berada di depan menerusi Luis Diaz seawal minit ketiga dan berselang tiga minit kemudian giliran Harvey Elliot pula menggandakan kedudukan buat Liverpool.
Memasuki minit ke-28, Trent Alexander-Arnold segera menutup segala kritikan ke atasnya dengan menyumbangkan gol ketiga diikuti jaringan keempat daripada Roberto Firmino pada minit ke-31.
Minit ke-45, Virgil van Dijk yang dikatakan menjadi pencetus kepada kekalahan di tangan Manchester United minggu lalu, terus menghukum kelalaian pertahanan Bournemouth apabila meledak jaringan kelima Liverpool.
Seminit selepas aksi bersambung, tuan rumah makin selesa dengan memperoleh jaringan keenam menerusi gol sendiri Chris Mepham ketika pemain pertahanan itu cuba menghalang hantaran lintang Alexander-Arnold.
Liverpool makin ‘menggila’ dan minit ke-62, Firmino terus menghadirkan mimpi ngeri buat Bournemouth apabila meledak jaringan kedua peribadinya dalam perlawanan untuk menjadikan kedudukkan 7-0.
Tuan rumah menambah dua lagi gol menerusi Fabio Carvalho pada minit ke-80 dan Diaz pada minit ke-85. – AGENSI