LONDON – Tottenham Hotspur dijangka berkunjung ke laman Nottingham Forest tanpa kelibat Harry Kane yang mungkin akan direhatkan oleh pengurusnya, Antonio Conte.
Pada aksi di Stadium Bola Sepak Nottingham Forest malam ini, skuad The Tricky Trees bercita-cita untuk meneruskan aksi cemerlang, manakala Conte dijangka memberi rehat kepada Kane bagi mengelak penyerang England itu dihimpit isu keletihan.
Pengurus dari Itali itu merasakan adalah sesuatu perkara yang ‘gila’ jika beliau tidak melakukan penggiliran pemain dan peluang kali ini menjadi detik terbaik buat pemain baharunya menyerlah.
“Kita bercakap tentang situasi yang kami perlu hadapi. Setiap kali tamat perlawanan, saya perlu periksa situasi pemain, adakah berada dalam keletihan ataupun alami kecederaan.
“Seseorang pemain tidak akan mampu bermain dalam semua tujuh perlawanan dan ia begitu mustahil. Saya bukan ahli silap mata yang mampu meramal semua perkara ini, tetapi kami perlu hadapi satu demi satu dan cuba sehabis baik.
“Tidak masuk akal untuk meletakkan pemain yang sama. Sebab itu kami mendapatkan pemain baharu untuk membolehkan penggiliran kerana kami akan bermain dalam empat pertandingan,” katanya.
Untuk rekod, Kane tidak pernah direhatkan dalam semua pertandingan utama, Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara sejak Disember 2018.
Pada sesi perpindahan kali ini, Tottenham Hotspur menjadi antara pasukan yang aktif dan berjaya membawa masuk Richarlison, Clement Lenglet, Yves Bissouma dan Ivan Perisic. –AGENSI