PARIS – Pelumba Itali, Enea Bastianini sah akan mengemudi pasukan utama Ducati pada Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim depan untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Jack Miller selepas pelumba Australia tersebut menyertai KTM.
Meskipun menggunakan jentera Desmosedici GP21 bersama Gresini Racing, Bastianini dilihat berjaya menambat hati pasukan pengeluar Ducati selepas berjaya melakar tiga kemenangan iaitu di Grand Prix (GP) Qatar, Americas dan Perancis.
Juara dunia Moto2 2020 tersebut menegaskan dia teruja untuk menyertai keluarga besar Ducati dan tidak sabar untuk melengkapkan cita-cita dengan menyarung sut warna rasmi pasukan itu bersama rakan sepasukan baharunya, Francesco Bagnaia.
“Sudah pasti saya sangat teruja kerana dapat memakai warna pasukan rasmi Ducati mulai tahun depan. Ia adalah impian saya dan kini ia menjadi kenyataan.
“Saya akan cuba menutup tahun 2022 ini dengan cara terbaik sebelum mengharungi pengembaraan baharu saya sebagai pelumba Ducati pada musim hadapan.
“Saya bersemangat dan akan memberi komitmen penuh untuk mencipta sejarah bersama pasukan ini,” kata Bastianini.
Pelumba berusia 24 tahun tersebut kini berada di tangga keenam keseluruhan dan dipisahkan 82 mata di belakang juara bertahan, Fabio Quartararo (Yamaha).
Dalam pada itu, pasukan Pramac Racing mengesahkan bahawa Jorge Martin dan Johann Zarco akan kekal bersama mereka musim depan. – AGENSI