SEREMBAN – Harapan pasangan suami isteri untuk melihat anak mereka bergelar atlet skuasy negara musnah apabila pemuda itu kini menderita penyakit dalam perut dan angin pasang hingga membataskan pergerakannya untuk mencari rezeki bagi membantu keluarga.
Faris Danial Mohd. Amir Raja, 28, berkata, keadaan bertambah parah apabila ibu bapanya turut sakit hingga mereka pernah terputus bekalan makanan baru-baru ini.
“Saya mengalami penyakit antral gastrisis, gerd dan angin pasang tahap dua pada November tahun lalu yang menyebabkan saya sering semput, lemah badan dan mudah pitam selain sukar bekerja.
“Sebelum ini saya cuba berniaga tetapi tak larat hendak buat kerana semakin lemah dan berat badan hanya tinggal 45 kilogram,” katanya ketika ditemui di Taman Warisan Puteri di sini semalam.
Faris Danial yang pernah bersekolah di Sekolah Sukan Bukit Jalil dan mewakili negara dalam sukan skuasy ke luar negara 10 tahun lalu memberitahu, dia tidak boleh makan sebarangan kerana perutnya akan sakit seperti dihiris pisau.
“Saya hanya boleh makan makanan yang direbus. Wang simpanan telah habis dan meminta simpati saudara dan rakan-rakan.
“Ayah, Mohd. Amir Raja Abdullah, 58, menghidap darah tinggi, kencing manis dan sakit jantung, manakala ibu, Nor Laila Hassan, 58, pula ada sakit tiroid,” katanya yang memerlukan RM26,000 untuk menjalani pembedahan.
Ujar Faris Danial, bapanya bekerja sebagai pembantu kedai dengan gaji RM25 sehari.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Faris Danial di talian 011-3927 3970 atau menghulur sumbangan menerusi akaun bank CIMB 7025369409. -KOSMO! ONLINE