fbpx

Aaron Chia-Wooi Yik hampiri puncak dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GANDINGAN negara berjaya mara ke perlawanan akhir pada Kejohanan Dunia selepas menumbangkan beregu dari India semalam. – TWITTER BWF

KEYAKINAN beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berada pada tahap tertinggi menjelang aksi final Kejohanan Badminton Dunia 2022 di Tokyo, Jepun menentang Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan hari ini.

Rekod dua pertemuan ter­­akhir memihak kepada Aaron-Wooi Yik selepas mereka menewaskan beregu yang diberi gelaran ‘The Daddies’ itu pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan Terbuka Malaysia 2022.

Bagi Wooi Yik, mereka tidak gentar untuk berdepan Ahsan-Setiawan walaupun beregu No.3 dunia itu pernah merangkul tiga gelaran dunia pada edisi 2013, 2015 dan 2019.

“Kami muda, tiada perasaan takut dan masih boleh memberikan segala-galanya. Kami yakin kerana pernah menentang mereka sebelum ini.

“Walaupun mereka (Ahsan-Setiawan) berpengalaman dan pernah memenanginya (juara dunia) sebelum ini, tetapi kami akan berjuang habis-habisan untuk final esok (hari ini),” katanya.

Pasangan negara di ranking keenam dunia itu mara ke final selepas menewaskan Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India 20-22, 21-18, 21-16 dalam tempoh satu jam tujuh minit di Gimnasium Tokyo Metropolitan semalam.

Ia sekali gus menamatkan ‘sumpahan’ yang menghantui Aaron-Wooi Yik selepas terkandas dalam enam daripada tujuh aksi separuh akhir sepanjang tahun ini.

Ia juga secara tidak langsung membuka peluang cerah buat Aaron-Wooi Yik untuk bergelar pemain Malaysia pertama menjuarai Kejohanan Dunia sejak edisi pertama dianjurkan pada 1977 di Malmo, Sweden.

“Kami tak fikir mengenai gela­ran itu kerana misi belum selesai. Kami tidak mahu berikan tekanan tinggi kepada diri sendiri dan hanya fokus kepada perlawanan final,” jelas Aaron.

Sebagai rekod, kali terakhir wakil negara mara ke final beregu lelaki adalah menerusi Koo Kien Keat-Tan Boon Heong sewaktu edisi 2010 di Paris, Perancis yang menyaksikan mereka tewas kepada pasangan China, Cai Yun-Fu Haifeng.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI