PETALING JAYA – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menjangkakan pencapaian yang lebih besar dalam kalangan wanita negara ini akan dapat disaksikan dalam tempoh terdekat dan peningkatan pendidikan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi lebih tinggi.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, ketika ini institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menempatkan lebih ramai pelajar wanita iaitu 61 peratus berbanding lelaki sebanyak 39 peratus.
Malah kata beliau, pada tahun 2021 terdapat lebih ramai kakitangan wanita iaitu 56.8 peratus berbanding lelaki iaitu 43.2 peratus di IPT awam negara.
“Selain itu, hampir 60 peratus daripada lebih 15,000 kakitangan KPT terdiri daripada wanita. Wanita telah memainkan peranan aktif dalam menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi antarabangsa.
“Berdasarkan angka tersebut, saya jangkakan pencapaian yang lebih besar dalam kalangan wanita Malaysia akan dapat dicapai dalam masa terdekat.
“Jadi, inisiatif sedemikian adalah selaras dengan idea bahawa apabila wanita diberi peluang untuk mencapai potensi mereka, negara akan menjadi lebih maju secara keseluruhan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Dr. Noraini memberitahu, peningkatan tahap pendidikan dalam kalangan wanita menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Ini kerana katanya, wanita memainkan peranan yang amat penting dalam kebajikan sosio ekonomi keluarga seterusnya dalam pembangunan negara
“Kajian Organisation of Economic Cooperation and Development (OECD) juga mendedahkan bahawa peningkatan pendidikan wanita menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi lebih tinggi kepada kira-kira 50 peratus di negara-negara OECD sejak 50 tahun lalu,” ujarnya.
Selain itu beliau berkata, tahun lalu sebanyak 20.6 peratus atau lebih 180,000 perusahaan kecil dan sederhana (IKS) di Malaysia dimiliki oleh wanita.
Menurutnya, sektor tersebut menyumbang hampir RM70 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menawarkan hampir 800,000 peluang pekerjaan bernilai lebih RM11.1 bilion.
Terdahulu, beliau memaklumkan sedang berada di Halifax, Nova Scotia, Kanada bagi menghadiri Persidangan Parlimen Negara-Negara Komanwel (CPC) anjuran Persatuan Parlimen Negara-Negara Komanwel (CPA).
Jelas beliau, persidangan itu menghimpunkan lebih 600 Ahli Parlimen, kakitangan Parlimen serta pembuat keputusan lebih daripada 40 buah negara Komanwel.
Katanya, matlamat utamanya adalah untuk mengadakan perbincangan dan meluaskan rangkaian serta berkongsi pengalaman dengan peserta-peserta lain mengenai isu-isu global yang melanda pada masa ini.
“Pada konferen kali ini terdapat juga persidangan dan mesyuarat sampingan seperti Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif CPA, Persidangan Cawangan Kecil CPA dan Persidangan Ahli Parlimen Wanita Komanwel atau CWP.
“Dalam mesyuarat jawatankuasa eksekutif CPA, satu cadangan telah dibawa oleh CWP bagi meningkatkan penyertaan wanita yang sama rata atau sekurang-kurangnya 33 peratus sebagai exco dalam CPA bagi memastikan suara dan pendapat serta isu-isu yang berkait dengan wanita diberi keutamaan,” ujarnya.
Dalam hal ini, beliau berkongsi inisiatif dalam menyokong usaha untuk memperkasakan ahli Parlimen wanita dan mempromosikan kepelbagaian atau intersectionality.
“Dalam konteks negara kita, ketika ini Dewan Rakyat di Parlimen Malaysia diwakili oleh 33 wanita atau 14.9 peratus daripada 222 ahlinya.
“Jumlah ini sebenarnya masih kecil berbanding populasi wanita yang merangkumi hampir separuh atau 47.7 peratus daripada 32.5 juta rakyat Malaysia,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE