fbpx

Wanita Bangkit@KPWKM fokus aktiviti jana pendapatan kaum wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rina ketika berucap pada Karnival Program Wanita Bangkit@KPWKM di Salak Tinggi .

SEPANG- Karnival Kerjaya Dan Keusahawanan Wanita Bangkit anjuran Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus memberi fokus kepada aktiviti penjanaan pendapatan kaum wanita dengan menghubungkan mereka kepada platform yang menawarkan peluang pekerjaan, perniagaan dan keusahawanan.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, menerusi platform itu, kaum wanita dapat memperkasa ekonomi diri dan keluarga menerusi peluang-peluang kerjaya, perkongsian ilmu pengetahuan, pengurusan kewangan, kemahiran serta kepimpinan kendiri bagi meningkatkan kapasiti dan keupayaan mereka.

“Realiti hari ini menunjukkan ketidakupayaan menguruskan ekonomi menjadi salah satu faktor kegagalan dan keruntuhan institusi rumah tangga. Ia juga menyumbang kepada pelbagai masalah seperti pengabaian tanggungjawab berkaitan nafkah, pendidikan anak-anak serta hutang yang tinggi.

“Justeru, menerusi inisiatif itu yang dianjurkan di beberapa negeri seluruh Malaysia, ia memberi peluang kepada wanita untuk berdikari daripada segi pendapatan sekali gus menyumbang kepada ekonomi keluarga,” katanya ketika merasmikan Program Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Wanita Bangkit @KPWKM di Dewan Serbaguna Bandar Baru Salak Tinggi di sini hari ini.

Katanya, inisiatif itu juga terbahagi kepada dua kaedah iaitu menerusi sektor formal dan tidak formal di mana melalui sektor formal pelbagai pameran kerjaya diadakan dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), TalentCorp Malaysia dan organisasi penempatan pekerjaan lain.

“Menerusi sektor tidak formal pula,peserta dihubungkan kepada pelbagai peluang perniagaan dan keusahawanan daripada kerajaan seperti Mamacare, program selepas bersalin oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Malaysia selain sektor swasta seperti Maxis untuk penganjuran e-Kelas Usahawan.

“Selain itu, bantuan geran MyKasih Kapital sebanyak RM500 juga disediakan untuk memulakan perniagaan dengan modal kecil dalam bidang e-dagang dan perniagaan kecil-kecilan yang bukan di bawah skim di Kementerian Keusahawan,” jelasnya.

Selain itu, katanya, Wanita Bangkit@KPWKM telah berjaya menghubungkan dan memberi peluang pekerjaan kepada 47,000 wanita dalam kedua-dua sektor serta menyediakan pengetahuan berterusan khususnya dalam pengurusan kewangan.

Pada karnival itu juga, lebih 30 majikan daripada pelbagai sektor turut dibawa dengan kerjasama pihak PERKESO.

Sebanyak 1,000 jawatan kosong di peringkat eksekutif selain 14,000 jawatan kosong bukan eksekutif turut ditawarkan kepada kaum wanita yang hadir dalam usaha meningkatkan taraf sosio ekonomi mereka. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI