fbpx

Tun Mahathir nafi terlibat keputusan mahkamah Najib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahathir

KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr. Mahathir Mohamad menafikan dakwaan dirinya terlibat dalam keputusan mahkamah membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mahathir yang kini Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata, beliau tidak mempunyai sebarang pengaruh berkenaan keputusan mahkamah terhadap Ahli Parlimen Pekan itu.

“Benar saya yang melantik (Tun Tengku Maimun Tuan Mat). Ketika itu, saya Perdana Menteri dan saya tidak mempunyai pilihan kerana nama (Tengku Maimun) dikemukakan dan saya hanya meluluskan (pelantikan).

“Untuk mengatakan saya mempengaruhi (keputusan) mahkamah, terdapat tiga mahkamah. Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang diwakili sembilan hakim, malah semuanya mempunyai pendapat yang sama,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mahathir berkata, kes Najib telah mengambil masa selama empat tahun yang mana ia tidak pernah berlaku dalam Malaysia.

“Dahulu, kes Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) hanya ambil masa sembilan bulan sahaja,” ujarnya.

Jelasnya, Najib telah diberikan ruang dan peluang secukupnya bagi membela diri dalam kes tersebut.

“Jika kita lihat apa yang dilakukan, dia hanya menarik balik ini dan itu. Dia kata tidak adil (keputusan yang dijatuhkan terhadapnya), apa yang tidak adil? Jika betul dia perlu buktikan dalam keterangannya.

“Mahkamah ada bukti buku cek, dokumen bertulis dan semuanya ada di mahkamah. Dia perlu sertakan bukti kukuh untuk menafikan bahawa dokumen yang ada itu salah,” ujarnya.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan bekas perdana menteri itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI