KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Belia dan Sukan (KBS), Senator Datuk Seri Ti Lian Ker menyokong usaha produksi tempatan yang menghasilkan filem Anak Rimau The Movie (ARTM) sekali gus mengangkat martabat sukan bola sepak tanah air dalam karya seni.
Menurutnya, ARTM terbitan Keeklr Films Sdn. Bhd. bukan sekadar berlatarkan sukan bola sepak tetapi turut mempamerkan semangat dan perjuangan generasi baharu dalam mengejar impian sebagai atlet berjaya.
“Ini satu cabaran hebat bagi pelakon dan kru ARTM dapat menyiapkan penggambaran filem meskipun diuji dengan pandemik.
“Proses penggambaran filem dijayakan dengan dedikasi dan memiliki sifat kepimpinan tinggi.
“Perkara tersebut juga ditanam dalam mesej utama filem ini iaitu memberi inspirasi kepada anak muda mencapai cita-cita sebagai pemain bola sepak demi negara tercinta,” katanya pada sidang akhbar ARTM di sini baru-baru ini.
Sementara itu, penerbitnya, Fadzil Manap berkata, filem sememangnya memainkan peranan penting sebagai menjadi medium komunikasi kepada anak muda untuk melakukan perubahan dalam hidup.
“Saya percaya filem ini mampu memberi impak, pengaruh dan gaya pemikiran masyarakat.
“Tujuan pembikinan filem ini juga memberi semangat kepada anak muda dan bertindak sebagai medium pendidikan, informasi dan hiburan terutama dalam bidang sukan,” ujarnya.
Naskhah menelan belanja RM5.5 juta itu turut menampilkan aktor terkenal, Beto Kusyairy, Idan Aedan dan beberapa pemain bola sepak kategori bawah 14 tahun dari Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) seperti Ahmad Daniel Hakimi Ahmad Azmil dan Hanz Daniel Skelchy.
ARTM memaparkan kisah sekumpulan anak muda berbakat tinggi dalam dunia bola sepak yang terdiri daripada pelbagai kaum ketika menyertai Akademi Bola Sepak Anak Rimau.
Filem hebat tersebut bakal menemui penonton bermula 1 September ini di pawagam seluruh negara. – KOSMO! ONLINE