fbpx

Remaja larikan bayi perempuan tiada masalah mental – Polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Shuhaily (tengah) menziarahi bayi yang dilarikan di Taman Pauh, Bukit Mertajam di sini hari ini.

SEBERANG PERAI – Suspek remaja perempuan yang bertindak melarikan seorang bayi berusia sembilan bulan Selasa lalu disahkan normal dan tidak mempunyai masalah kesihatan mental.

Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, suspek yang berusia 14 tahun itu juga tidak mempunyai sebarang motif lain kecuali hanya mahu menjaga bayi perempuan tersebut seperti anaknya sendiri.

“Hasil soal siasat mendapati, suspek tidak sakit sebaliknya datang daripada keluarga yang berpecah-belah dan tidak membesar seperti remaja lain.

“Kita dapati suspek tiada elemen mahu jual bayi atau yang sepertinya,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke rumah keluarga bayi terbabit di Taman Pauh, Bukit Mertajam di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily berkata, suspek utama dan teman lelakinya yang berusia 18 tahun disambung reman selama empat hari mula hari ini sehingga 30 Ogos ini mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik.

“Kedua-duanya akan didakwa di mahkamah manakala tiga lagi individu akan menjadi saksi pendakwaan kes.

“Siasatan kita banyak dibantu dengan maklumat awal daripada penduduk setempat sekali gus mempercepatkan operasi menyelamatkan mangsa,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang remaja ditahan selepas melarikan bayi perempuan dari rumah pengasuhnya di sebuah pangsapuri di Permatang Pauh, Seberang Perai Tengah pada pukul 5.30 petang, Selasa lalu.

Mangsa kemudian berjaya diselamatkan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Pulau Pinang dan Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI