KLUANG – Kehidupan lima beranak di Kampung Sembrong Lapis di sini bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga apabila pelbagai masalah datang bersilih ganti sejak tiga tahun lalu.
Mohd. Ali Mohd. Yusof, 52, berkata, kisah malang keluarganya bermula selepas kematian isterinya, Faridah Subuh lima tahun lalu dan MyKad miliknya ditarik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Menurutnya, perkara itu berlaku kira-kira tiga tahun lalu selepas JPN mengesan MyKad tersebut digunakan individu lain dan laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kluang berhubung isu berkenaan.
Menurutnya, pelbagai usaha untuk mendapatkan semula MyKad telah dilakukan malah setiap syarat diminta juga sudah dipenuhi, namun tetap tidak mendatangkan hasil.
“Sekiranya saya ada MyKad, mungkin pada usia seperti ini boleh memohon pekerjaan yang lebih baik untuk menyara kehidupan keluarga,” katanya ketika ditemui di kediamannya baru-baru ini.
Tambah Mohd. Ali, lebih memeritkan apabila dua anaknya masing-masing lelaki dan perempuan berusia 16 dan 17 tahun berhadapan masalah kemurungan selepas kematian ibu mereka.
Ujarnya, kedua-dua mereka masih belum dapat pengesahan daripada pihak berkaitan untuk meletakkan status sebagai orang kelainan upaya (OKU).
“Disebabkan bekerja sebagai pencari barang-barang lusuh dengan pendapatan tidak menentu, saya tidak mampu menghantar anak bongsu berusia tujuh tahun ke sekolah.
“Seorang lagi anak saya yang berusia 22 tahun juga sudah keluar dari rumah ini kerana mahu mencari kehidupan yang lebih baik dan kini saya tidak tahu di mana dia berada. Semua anak-anak saya ada MyKad,” katanya.
Berkongsi kisah perjalanan hidup mereka, Mohd. Ali, memberitahu, setiap bulan dia perlu menyediakan RM100 untuk rumah sewa. Malah makan serta minum untuk tiga anaknya itu hasil sumbangan jiran.
Sehubungan itu, dia berharap ada pihak dapat membantu keluarganya agar kehidupan mereka lebih baik dan bagi yang ingin membantu boleh menghubungi jirannya, Suriha Ghani ditalian 011-3619 6778.