PUTRAJAYA – Kerjasama erat yang terjalin antara Malaysia dan Arab Saudi menerusi lawatan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee ke negara itu diharap dapat meningkatkan jumlah perdagangan dan kerjasama dua hala dalam usaha mengukuhkan agenda sekuriti makanan negara.
Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam satu kenyataan berkata, lawatan Ronald ke negara itu juga selaras dengan komitmen kerajaan menjamin ekosistem sekuriti makanan lebih inklusif melalui kerjasama yang komprehensif.
“Ronald mengetuai delegasi kementerian untuk menghadiri mesyuarat dua hala ke Arab Saudi bermula 24 hingga 26 Ogos 2022 selepas diundang Menteri Alam Sekitar, Air dan Pertanian Arab Saudi, H. E. Eng. Abdulrahman A. Alfadley.
“Lawatan delegasi MAFI bertujuan meneruskan rundingan bagi memperkukuh kerjasama dalam sektor pertanian bersama Arab Saudi dengan merentasi pelbagai subsektor agromakanan,” katanya di sini.
Menurut kenyataan itu, mesyuarat dimulakan dengan kunjungan hormat ke atas Abdulrahman A. Alfadley sebelum dmesyuarat antara kedua-dua kementerian.
“Pelbagai usaha strategik kerajaan dengan kerajaan (G2G) secara bilateral turut dibincang bagi mengukuhkan agenda sekuriti makanan kedua-dua negara.
“Pertemuan turut diadakan dengan Saudi Agricultural and Livestock Investment Company (SALIC) dan Saudi Agricultural Development Fund (ADF) yang mana masing-masing membuka peluang meneroka kolaborasi bersama yang membawa manfaat kepada kedua-dua pihak,” jelasnya.
Selain itu, beberapa siri perbincangan lain turut diadakan termasuk bersama Saudi Food and Drug Authority (SFDA) bagi meningkatkan akses pasaran produk agromakanan negara ke Arab Saudi.
“Ia termasuklah bersama National Research and evelopment Center for ustainable Agriculture (Estidamah) yang membincangkan kerjasama teknikal dan penyelidikan pertanian bersama Malaysian Agricultural Research and Development Institute (MARDI),” jelasnya.
Katanya, antara potensi kerjasama yang akan diterokai termasuk penyelidikan dan pembangunan bersama, pertukaran pakar teknikal, pertanian moden dan perkongsian maklumat teknikal serta teknologi pertanian.
Ujarnya, bagi tahun 2021, Malaysia mengeksport hasil dan produk pertanian sebanyak RM2.4 bilion ke Arab Saudi, manakala jumlah import hasil dan produk pertanian Arab Saudi adalah sebanyak RM100 juta.
“Melihat kepada potensi tersebut, perjumpaan dua hala itu mampu memperkukuhkan lagi hubungan perdagangan hasil dan produk pertanian antara kedua-dua negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE