JITRA – Kadar purata kebolehpasaran graduan Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang diselia Kementerian Belia dan Sukan (KBS) adalah melebihi 90 peratus dalam tempoh tiga tahun ini.
Pengarah Kemahiran, Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia KBS, Shahrul Affendi Baharudin berkata, purata gaji minimum yang diperoleh lepasan ILKBS pula ialah sebanyak RM1,569.34 sebulan.
Katanya, ILKBS merangkumi Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Akademi Kemahiran Belia Golf (AKBG).
“Pencapaian ini menjadi indikator penting terhadap kualiti latihan dan keyakinan majikan industri terhadap kompetensi graduan ILKBS.
“Apatah lagi dalam era pasca pandemik ini, kebanyakan industri mula memperkasakan semula operasi mereka dan memerlukan tenaga kerja mahir, sekali gus menjadikan keperluan terhadap lepasan TVET sentiasa berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvokesyen ILKBS ke-17 Zon Utara yang bertemakan Graduan Berinovasi Penjana Ekonomi Keluarga Malaysia di IKBN Jitra di sini hari ini.
Pada konvokesyen itu, seramai 680 graduan menerima diploma dan sijil masing-masing dalam bidang kemahiran antaranya teknologi elektrik, teknologi elektronik, teknologi mekanikal, teknologi automatif, teknologi awam, teknologi marin dan teknologi pertanian.
Graduan adalah daripada IKBN Jitra, IKBN Naka di Kedah; IKBN Kuala Perlis, Perlis; IKTBN Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan IKBN Seri Iskandar, Perak.
Turut diadakan ILKBS Career Fest Zon Utara dengan lebih 1,500 jawatan ditawarkan 18 industri daripada pelbagai sektor kepada kepada para belia yang sedang mencari pekerjaan. – KOSMO! ONLINE