SEOUL – Korea Selatan sekali lagi mencatatkan kadar kesuburan paling rendah di dunia, manakala angka tersebut terus menurun ke paras terendah baharu, lapor akhbar Saudi Gazette baru-baru ini.
Kadar kesuburan di Korea Selatan mula menunjukkan penurunan ketara bermula dari tahun 2018 dengan purata kurang seorang anak untuk setiap wanita.
Pada Rabu lalu, laporan yang dikeluarkan oleh kerajaan menunjukkan angka itu menurun kepada 0.81 anak untuk setiap wanita, turun tiga mata daripada tahun sebelumnya. Ia juga merupakan penurunan kali keenam berturut-turut.
Sebagai perbandingan, kadar purata kesuburan di negara-negara ekonomi paling maju di dunia pula adalah nisbah 1.6 kanak-kanak.
Korea Selatan memerlukan sekurang-kurangnya dua anak bagi setiap pasangan dengan kadar 2.1 untuk mengekalkan saiz populasi negara itu tanpa melibatkan penghijrahan masuk.
Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) memberitahu bahawa kadar kesuburan global dalam tempoh enam dekad yang lalu.
Namun begitu, trend ini amat ketara di Korea Selatan, di mana saiz keluarga semakin berkurangan dalam tempoh beberapa generasi.
Pada permulaan tahun 1970-an, wanita di negara itu mempunyai empat orang anak secara purata.
Penduduk yang semakin berkurang boleh meletakkan sesebuah negara di bawah tekanan yang besar.
Selain daripada peningkatan tekanan ke atas perbelanjaan awam untuk sistem penjagaan kesihatan dan pencen yang meningkat, kemerosotan populasi belia juga membawa kepada kekurangan tenaga kerja sekali gus memberi kesan buruk kepada ekonomi.
Pada tahun 2020, kerajaan Korea Selatan mengeluarkan amaran selepas negara itu buat kali pertama a mencatatkan lebih banyak kematian berbanding kelahiran.
Sejak beberapa tahun lalu, tekanan ekonomi dan kerjaya selain kos sara hidup tinggi, kenaikan harga rumah dan kesan pandemik Covid-19 menjadi penghalang utama kepada wanita yang ingin memiliki anak. – Agensi