BANGKOK – Seorang wanita di wilayah Surin, Thailand terpaksa bersalin di dalam kereta disebabkan keadaan jalan yang amat teruk menghalangnya untuk sampai ke hospital tepat pada waktu, lapor laman berita Thaiger semalam.
Penduduk tempatan mahu meningkatkan kesedaran tentang keadaan jalan raya yang menyedihkan di kampung Khok Phued, mukim Ban Cham.
Jalan sepanjang 2.5 kilometer (km) itu adalah satu-satunya laluan masuk ke kampung yang mempunyai lebih 125 kediaman.
Kira-kira 34 minit masa diambil untuk menyusuri trek lumpur yang licin dan berbahaya dan penuh dengan lubang. Penduduk tempatan membandingkan jalan itu dengan permukaan Bulan.
Seramai 15 penduduk dari kampung Khok Pheud berkumpul pada pukul 3 petang (waktu tempatan) semalam untuk menjelaskan nasib malang mereka kepada pemberita.
Menurut mereka, tugas membawa orang sakit ke hospital dengan selamat adalah mustahil. Pelajar sekolah terpaksa berhadapan dengan jalan raya yang berbahaya pada setiap hari.
Jalan itu dikatakan berusia sudah lebih 100 tahun, namun agensi berkaitan tidak pernah melakukan apa-apa untuk membantu walaupun ia terletak hanya 5 km dari Pejabat Pentadbiran Daerah Ban Cham.
Penduduk kampung berharap dengan menyampaikan mesej itu, pentadbiran tempatan akan membaiki jalan untuk menjadikan kehidupan mereka lebih mudah dan selamat.
Beberapa minggu lalu, seorang lelaki dari wilayah Nakhon Ratchasima memancing di sebatang jalan untuk menyatakan bahawa jalan berlubang di kampungnya itu tidak masuk akal dan sangat memerlukan pembaikan. – Agensi