PETALING JAYA – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri dipercayai tidak dapat menghadiri taklimat khas UMNO yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Biarpun hampir semua pimpinan tertinggi UMNO dilihat hadir, namun Ahli Parlimen Bera itu tidak kelihatan pada taklimat khas parti tersebut.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan taklimat itu akan disampaikan oleh Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkenaan isu-isu semasa, khususnya membabitkan parti secara keseluruhan dan perkembangan terkini.
Antara yang dijadualkan memberikan ucapan selain Ahmad Zahid adalah peguam Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Shafee Abdullah, isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dan dua anak mereka, Noryana Najwa dan Datuk Nizar Najib.
Selain itu, di luar dewan pula, terdapat beberapa ‘tong khas’ disediakan kepada orang ramai untuk menulis nukilan buat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. – KOSMO! ONLINE