WASHINGTON – Gelongsor gergasi di sebuah taman permainan bandar Detroit, negeri Michigan, ditutup pada hari sama ia dibuka selepas seorang kanak-kanak terpelanting ke udara semasa menggunakannya, lapor laman berita Wion News semalam.
Kanak-kanak yang menggunakan karung guni dilihat tercampak ke udara dan terhantuk pada gelongsor logam itu. Video kejadian tular di platform media sosial.
“Kami akan membuat pelarasan kelajuan gelongsor setelah menyaksikan kejadian hari ini (semalam).
“Mudah-mudahan selepas pelarasan kecil, kami akan kembali beroperasi dan gelongsor akan menjadi lebih perlahan untuk lebih keseronokan,” demikian kenyataan taman permainan itu di laman Facebook semalam.
Bayaran yang dikenakan kepada pengunjung adalah sebanyak AS$1 (RM4).
Pengumuman penutupan itu menarik perhatian pengguna di media sosial yang memenuhi ruangan komen.
Pihak pengurusan taman itu kemudian menjelaskan bahawa mereka telah mengubah suai gelongsor, membersihkan permukaan dan menyembur air ke atasnya dalam usaha mengawal kelajuan bagi menarik pelanggan untuk mencubanya semula. – Agensi