fbpx

Fitri Haris dinobat individu paling berjaya di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Penyanyi nasyid, Dr. Fitri Haris melakar sejarah tersendiri selepas disenaraikan antara individu paling berjaya di Malaysia dalam edisi keempat buku ensiklopedia, BritishPedia terbitan British Publishing House, United Kingdom.

Fitri berkata, pengiktirafan tersebut memuatkan biografi personaliti dan tokoh yang berjaya serta memberi sumbangan kepada masyarakat dalam bidang dan kepakaran masing-masing di Malaysia.

“Penghargaan ini amat bermakna buat saya kerana meletakkan saya sebaris tokoh ternama yang juga penerima sebelumnya seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Quek Leng Chan dan juga Tan Sri Tony Fernandes.

“Prosesnya bukan mudah kerana saya perlu menjalani temu bual tiga bulan lepas untuk pastikan kesahihan maklumat. Bila mereka sudah kaji latar belakang dan pencapaian, barulah diiktiraf dan dimasukkan dalam ensiklopedia.

“Ini adalah pengiktirafan ketiga saya dalam tempoh dua tahun setelah menerima Asean Inspiring Awards 2021 di Surabaya, Indonesia dan Top Young CEO 2021 di Kuala Lumpur,” ujarnya.

Juara Gema Gegar Vaganza 2 (GGV2) itu berkata, pengalaman lebih dua dekad bergelar anak seni, ahli perniagaan, pegawai penyelidik, perunding perniagaan, pemasaran, media dan akademik melayakkannya menerima pengiktirafan tersebut.

Selain bergelar ahli akademik di Universiti Utara Malaysia (UUM), Fitri, 38, juga menjadi ikon akademik untuk beberapa organisasi kemasyarakatan seperti Peduli Insan Malaysia dan Muslim Volunteer Malaysia.

“Saya tidak mahu bergerak sendirian dan kini sedang merangka untuk menubuhkan sebuah institut yang akan memperkenalkan bidang baharu dalam dunia akademik di Malaysia serta global.

“Saya juga tidak membataskan pembabitan pada satu bidang sahaja apabila turut serta dalam bantuan misi kemanusiaan buat pelarian Syria, mangsa banjir di Malaysia dan banyak lagi,” ujarnya.

Menyentuh soal karier seni terkini, Fitri yang merupakan salah seorang anggota kumpulan nasyid popular UNIC memberitahu, dia kini sibuk mengkaji muzik Islam melalui modul This is Nasyid hasil kerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

“Ini merupakan bahan legasi ilmu yang boleh dimanfaatkan bukan sahaja di Malaysia, tetapi di peringkat antarabangsa sebagai usaha memperkenalkan muzik Islam dengan konteks lebih meluas,” katanya.

Pengiktirafan Successful People In Malaysia 2022 yang akan dimuatkan di dalam Ensiklopedia Britishpedia 2022 bakal dilancarkan pada akhir tahun ini dan boleh didapati di perpustakaan seluruh Malaysia serta beberapa negara seperti Singapura, Jerman dan Austria. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI