SOUTHAMPTON – Pengurus Southampton, Ralph Hasenhuttl memberi amaran kepada Manchester United bahawa pasukannya sudah memiliki perancangan untuk memerangkap pemain pertahanan, Lisandro Martinez pada aksi malam ini.
The Saints bakal menyambut kunjungan United di St. Mary untuk aksi pertama minggu keempat Liga Perdana Inggeris ketika skuad kendalian Erik Ten Hag memburu kemenangan kedua berturut-turut selepas mengejutkan Liverpool 2-1 Selasa lalu.
Martinez yang menjadi pemain baharu dibeli United musim ini menjadi tumpuan ekoran prestasi tidak menentu apabila gagal membantu pasukannya dalam dua perlawanan awal, tetapi berjaya mempamerkan aksi cemerlang mengekang Liverpool.
“Saya fikir tidak mudah untuk mengatakan bahawa tubuhnya yang kecil adalah satu kelemahan. Ia tidak semudah itu, tetapi kami sudah mempunyai rancangan untuk memerangkapnya,” katanya.
Bagaimanapun, Hasenhuttl sedar United kini sudah mula mempamerkan peningkatan dan pemain mula memahami falsafah bola sepak pengurus mereka, Erik Ten Hag menyebabkan mereka perlu lebih berhati-hati.
“Saya tidak terkejut apabila mereka tewas dua perlawanan awal kerana mereka sedang melalui proses dengan kehadiran pengurus dan pemain baharu. Ia tidak akan berlaku dengan mudah dan sempurna dalam tempoh yang cepat.
“Kita bercakap mengenai sebuah pasukan hebat yang dahagakan kejuaraan. Kejayaan mereka menewaskan Liverpool adalah mesej jelas mengenai keinginan mereka dan membuktikan bahawa United berada pada kedudukan yang baik,” jelasnya. – AGENSI