LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menggesa pemain sayap, Bukayo Saka agar mempamerkan naluri ‘membunuh’ setiap kali diturunkan dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Meskipun gembira dengan aksi ditampilkan pemain antarabangsa England itu setakat ini, namun beliau masih belum berpuas hati dan berharap anak buahnya itu meningkatkan permainan menjelang pertemuan dengan Fulham di Emirates tengah malam ini.
Arteta berkata, Saka memiliki potensi cukup besar, namun permainannya sedikit terhad kerana tidak menggunakan sepenuhnya teknik yang dimiliki selain ‘malu-malu’ untuk mengatasi pemain lawan.
“Saka seorang pemain yang bagus dan memiliki potensi besar. Kadang-kadang dia perlu ada mentaliti untuk menjadi watak penting yang membantu kemenangan pasukan, itu yang saya mahu daripadanya.
“Apabila masuk ke padang, dia perlu ada pemikiran mahu ‘membunuh’ pasukan lawan. Dia memiliki kemampuan itu dan sudah tiba masanya dia memastikan permainan naik ke satu tahap lebih baik,” katanya.
Justeru, pengendali dari Sepanyol itu berharap Saka mampu menunjukkan kemampuan sebenar ketika bertemu Fulham kali ini, lebih-lebih lagi dia memiliki rakan sepasukan yang sentiasa menyokong satu sama lain.
“Dia memiliki pemain-pemain yang bagus di sekelilingnya, jadi sekarang terpulang kepada Saka bagaimana untuk lakukannya. Dia ada kualiti itu dan merupakan seorang pemain yang sangat bijak,” ujar Arteta. – AGENSI