WASHINGTON – Langkah Eropah melaksanakan sekatan ke atas Russia mengakibatkan benua berkenaan bertukar menjadi ‘ekonomi dunia ketiga bagi negara-negara Barat’, lapor laman berita RT kelmarin.
Dakwaan tersebut dinyatakan oleh penyumbang kanan di majalah Forbes, Kenneth Rapoza dalam artikel terbaharunya.
“Sekarang ini, pasaran saham Eropah adalah yang paling teruk dalam dunia Barat dan berada 10 mata asas di bawah pasaran Amerika Syarikat.
“Punca utama situasi tersebut adalah sekatan tenaga terhadap Rusia sebagai hukuman ke atas perang Moscow di Ukraine,” kata Rapoza dalam artikelnya pada Selasa lalu.
Penulis itu juga menasihati pelabur supaya tidak meletakkan wang mereka dalam pasaran Eropah, sekurang-kurangnya sehingga Brussels memikirkan cara untuk mengimbangi impak pengurangan besar-besaran bekalan tenaga dari Rusia.
Selain itu, Kesatuan Eropah (EU) juga perlu mencari jalan penyelesaian untuk mengurangkan kesan buruk akibat sekatannya sendiri.
“Sekiranya gencatan senjata tidak berlaku dengan segera di Ukraine, Eropah mungkin akan menjadi sangat terdesak pada musim sejuk ini dengan rantaian bekalan yang sangat terhad.
“Ia tidak akan mempunyai pilihan selain melonggarkan beberapa sekatan atau meyakinkan rakan kongsi bukan EU untuk melabel semula dan memindahkan komoditi Rusia dalam usaha mendapat bekalan dan pada masa sama mematuhi peraturan yang membinasakan mereka sendiri,” ujarnya. – Agensi