BEBERAPA hari lepas Kosmo! menyiarkan mengenai isu lama yang seolah-olah tiada kesudahan iaitu pengguna kehilangan wang di bank yang ‘dirompak’ oleh tangan-tangan licik, bijak dan gigih.
Jika dahulu, penjenayah bersenjatakan pistol, senapang atau senjata tajam untuk memecah masuk dan merompak bank. Ada yang berjoli sakan dengan wang rompakan, namun ramai yang kecundang apabila terpaksa berdepan pengawal keselamatan dan pihak berkuasa.
Mereka ini terdiri daripada golongan hati kering, sanggup mati demi mendapatkan wang mudah. Apa yang penting ialah mengatur strategi waktu dan lokasi yang sesuai. Begitu juga kena ada keberanian. Alang-alang penakut memang hilang nyawa dibedil ‘pak guard’.
Sementara dalam perkembangan pantas teknologi hari ini, kes-kes rompakan dan samun bersenjata secara fizikal semakin berkurangan.
Duit orang ramai telah bertukar kepada kepingan plastik, malah kini skrin telefon bimbit dengan mudah membuat transaksi pembelian dan pembayaran apa sahaja keperluan.
Apa yang penting, duit ada dalam akaun. Duit kertas dan syiling tidak perlu lagi memenuhi dompet. Kini ada e-dompet atau lebih dikenali sebagai e-wallet iaitu satu variasi bagi urusan e-tunai. Segala-galanya kelihatan lebih mudah, selesa dan selamat.
Di sebalik kemudahan itu, penjenayah juga menukar modus operandi bagi mencuri dan menyamun wang-wang pengguna yang berada di dalam akaun bank mereka.
Perompak maya ini juga bukan calang-calang orang, mereka ini terpelajar dan bijak menggunakan segala taktik dan teknik dengan menyasarkan apa sahaja kelemahan pengguna untuk menceroboh perbankan online mereka.
Penjenayah ini tahu untuk mencuri wang milik bank adalah hampir mustahil kerana bank-bank ini memiliki sistem keselamatan yang sangat kukuh. Akhirnya yang akan berterusan menjadi mangsa adalah pengguna. Lebih menyedihkan nasib mereka seakan tidak terbela.
Kebiasaannya mangsa akan diminta membuat laporan dan tunggu sahaja hasil siasatan polis dan pihak bank. Tiada jaminan wang akan dikembalikan. Mereka juga biasanya tidak dimaklumkan langsung status siasatan atau perkembangan kes yang dilaporkan.
Bagi yang mampu bolehlah membuat tindakan saman terhadap pihak bank di atas kecuaian dan kelemahan yang berlaku, tetapi bagi pengguna biasa mana mungkin mampu membayar kos guaman berbanding keupayaan pihak bank mempertahankan kredibiliti mereka.
Oleh itu, tiba masanya pihak bertanggungjawab terus mengukuhkan Akta Perlindungan Pengguna 1999 agar kekal relevan dan mampu melindungi pengguna secara tuntas.
Hari ini, umum melihat akta berkenaan masih tidak menyebelahi pengguna sebaliknya lebih melindungi pihak bank yang sangat mementingkan laba.
Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia juga wajar dipertingkatkan peranan dengan menambah kakitangan, pejabat cawangan dan kuasa perlindungan kepada pengguna. Hentikanlah pengabaian hak-hak pengguna. Bantulah mereka yang teraniaya. -KOSMO! ONLINE