fbpx

Tuntut ilmu bukan nak dapat gaji besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zaman sekarang ramai anak muda mengabaikan pelajaran. - Gambar hiasan

Penulis teringat satu kisah yang diceritakan seorang guru di sebuah sekolah di negeri Cik Siti Wan Kembang satu ketika dahulu. Pada waktu itu semua pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) perlu membayar yuran sekitar RM120 bagi membolehkan mengambil peperiksaan itu.

Pada hari yuran dikutip, guru terbabit memanggil pelajarnya seorang demi seorang untuk menjelaskan yuran terbabit, sehinggalah sampai kepada seorang pelajar dari keluarga yang susah, dia malu untuk bangun dan menjelaskan yurannya kepada cikgu.

Lalu ditanya oleh guru itu, kenapa, adakah kamu ada wang? Dia menjawab, ada tapi malu cikgu? Setelah diselidik, rupa-rupanya pelajar itu malu untuk membayar yurannya kerana wang dibawanya semua dalam not RM1 sedangkan pelajar lain membuat bayaran dengan wang kertas not yang lebih besar.

Kata pelajar itu, ibunya menyimpan wang RM1 setiap hari bagi membolehkan dia membayar yuran peperiksaan SPM tepat pada waktunya.

Moral ceritanya, ibu pelajar terbabit sebenarnya bijak kerana menyedari hanya ilmu yang dapat merubah kehidupannya sekeluarga sehingga sanggup menabung RM1 sehari asalkan anaknya dapat menduduki peperiksaan SPM dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, lain pula halnya dengan hasil kaji selidik Jabatan Perangkaan baru-baru ini apabila mendapati, kira-kira 72 peratus daripada 560,000 lepasan SPM didapati tidak mahu menyambung ke peringkat lebih tinggi dengan rata-ratanya memberikan alasan, kalau belajar tinggi pun ia belum menjamin untuk mendapat gaji yang tinggi.

Jadi mereka lebih terdorong untuk terlibat dalam sektor ekonomi gig kononnya menjanjikan pendapatan yang agak lumayan, selain bebas memilih waktu kerja yang diinginkan.

Jika begitulah keadaannya, nampaknya ramai dalam kalangan anak-anak kita hari ini melihat menuntut ilmu tidak lebih hanya sebagai untuk bekerja dan mendapat gaji yang tinggi. Mungkin pada mereka, jika sudah men­dapat gaji yang baik, apa perlunya lagi menuntut ilmu.

Islam sendiri sebenarnya amat menitikberatkan soal menuntut ilmu ini dan Imam As-Syafie pernah berkata: “Tuntutlah ilmu sebanyak yang mungkin kerana ia akan menjagamu dan membuatmu cemerlang di dunia dan akhirat, di samping ia menjadi amalan para nabi, rasul dan orang-orang soleh.”

Jadi, para ibu bapa dan pihak berkuasa seharusnya melihat perkara ini secara serius, kerana jika dibiarkan, ia mungkin akan menyebabkan lahirnya generasi atau masyarakat yang tidak berilmu pada masa depan.

Apabila kehidupan hanya berlandaskan kepada ‘mencari wang’, maka tidak mustahil kelak akan lahir satu generasi yang rakus, tamak atau sikap pentingkan diri yang sekarang pun sudah berlaku kerana kehidupan sudah tidak lagi dipandu oleh ilmu.

Lebih buruk, generasi yang tidak berilmu ini tidak akan lagi dihormati, selain menjadikan kita sebagai bangsa yang mundur dan tidak mampu untuk bersaing dengan bangsa-bangsa lain yang terus maju ke depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI