fbpx

Tarikan sajian makanan laut kebabom

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PELANGGAN selesa menjamu selera di bawah rimbunan pokok api-api sambil menikmati rembang senja di D’Perapi Tebengau, Alor Setar.

MENGHIRUP kuah mi udang di bawah pohon api-api yang rendang sambil menyaksikan pemandangan indah matahari terbenam pasti menambah nikmat serta keenakan rasa hidangan.

Sesekali angin pantai menghembus ke daratan membuatkan diri yang berpeluh dek kepedasan mi udang terasa sejuk dan nyaman.

Nikmat kian bertambah apabila dapat menghirup semangkuk cendol yang dipenuhi buah-buahan.
Pengalaman menarik tersebut hanya boleh diperoleh apabila berkunjung ke restoran D’Perapi Tebengau yang terletak di Kuala Tebengau, kira-kira 10 kilometer dari bandar raya Alor Setar, Kedah.

Mula dibuka sejak empat tahun lalu, D’Perapi Tebengau bukan sahaja menyajikan kepelbagaian
hidangan tempatan, malah menawarkan pemandangan tepi laut yang cukup mempesonakan.

Pemilik D’Perapi Tebengau, Zailila Had, 38, berkata, restoran berkenaan mengetengahkan konsep makan secara santai di bawah pokok api-api yang terletak berhampiran laut.

Pokok Api-api merujuk kepada spesies pokok bakau yang tumbuh di  kawasan berpaya.
Ujarnya, rata-rata pelanggan datang pada lewat petang ke restoran itu bagi menyaksikan pemandangan
matahari terbenam sambil menikmati kepelbagaian hidangan yang ditawarkan.

“Tarikan utama di sini sudah pastilah suasana sekitarnya yang terletak di tepi pantai. Pengunjung juga boleh menikmati pemandangan laut membiru serta melihat aktiviti nelayan menangkap ikan.

“Selalunya, pengunjung datang pada sebelah petang kerana tidak panas sangat. Ini kerana, kami menyediakan meja makan di bawah pokok dan beberapa pondok kecil,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Mengulas mengenai menu, Zailila memaklumkan, restoran D’Perapi Tebengau menawarkan lebih 20
jenis hidangan tempatan yang kebanyakannya berasaskan makanan laut segar.

Katanya, makanan laut menjadi pilihan pelanggan memandangkan restoran tersebut mendapatkan bekalan ikan, sotong, udang dan ketam dari jeti Kuala Kedah yang terletak berhampiran.

“Di sini macam-macam hidangan ditawarkan seperti mi udang, mi kari, mi goreng, cucur udang, sotong goreng tepung, udang goreng tepung, baby crab goreng tepung, aneka nasi goreng, ikan bakar, bihun sup tempurung dan tomyam.

“Selain itu, kami turut menawarkan char kuetiau serta laksa. Laksa di sini antara paling laris kerana ada ikan seekor serta telur rebus sebiji,” katanya sambil memaklumkan, harga hidangan
bermula daripada RM6.

ZAILILA menunjukkan hidangan mi udang kebabom yang menjadi signatur di restoran berkenaan.

Zailila menambah, hidangan ‘kebabom’ iaitu makanan yang disajikan dengan kombinasi seekor ketam, tiga ekor udang besar dan dua ekor sotong sering menjadi pilihan pelanggan.

Katanya, pelanggan boleh memilih sama ada ingin menikmati hidangan kebabom dalam bentuk mi kari, char kuetiau, set nasi, mi goreng atau mi udang.

Dalam pada itu, Zailila berkata, restoran berkenaan menawarkan aneka pilihan air minuman, namun yang
menjadi pilihan ramai adalah cendol pulut serta cendol buah-buahan.

Untuk makluman, D’Perapi Tebengau dibuka setiap hari kecuali Isnin dari pukul 1 tengah hari hingga 9.30 malam. Pelbagai kemudahan ditawarkan di situ seperti surau, parkir dan tandas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI