KLANG – Seorang wanita langsung tidak menyangka kehadiran sebuah ambulans berhampiran rumahnya adalah bagi mengangkat mayat adiknya yang mati dibunuh dalam kejadian di Kampung Pandan di sini, Rabu lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.18 malam itu, mangsa berusia 24 tahun yang merupakan kerani sebuah syarikat swasta di Damansara, Kuala Lumpur itu ditekup mukanya sehingga mati oleh kekasihnya sendiri berusia 19 tahun.
Kakak mangsa berusia 30an yang enggan dikenali memaklumkan dia pada mulanya menyangka kehadiran ambulans kira-kira 9.30 malam itu adalah untuk mengambil individu yang dijangkiti Covid-19.
Katanya, bagaimanapun sangkaannya itu meleset apabila terdapat sebuah kenderaan forensik polis turut hadir di kawasan perumahannya.
“Saya terkejut apabila dimaklumkan ada individu yang meninggal dengan orang itu adalah adik saya.
“Masa kejadian saya berada di rumah saudara yang berderetan dengan rumah diduduki adik. Saya juga memang tidak mendengar langsung sebarang bunyi bising,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.
Semasa kejadian berlaku, mangsa tinggal berseorangan dalam rumah tersebut dan kediaman itu mempunyai dua bilik. Selain itu, terdapat kira-kira tiga laluan boleh digunakan untuk ke rumah mangsa.
Jelas wanita itu, dia menafikan khabar angin bahawa adiknya dirogol kerana semasa mayatnya ditemui berada dalam keadaan lengkap berpakaian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong dalam kenyataannya berkata, suspek sempat menghubungi rakannya menerusi panggilan video aplikasi WhatsApp kira-kira pukul 7.18 malam bagi meminta bantuan mengambilnya di lokasi tersebut selepas menekup muka kekasihnya dengan bantal.
Bagaimanapun, rakan suspek telah membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.
“Suspek ditangkap kira-kira pukul 9.20 malam hari kejadian di tepi jalan berhampiran lokasi kejadian dipercayai ketika cuba melarikan diri.
“Hasil siasatan mendapati punca kejadian adalah disebabkan mangsa ingin memutuskan hubungan dengan suspek,” katanya.
Hoong Fong menegaskan suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 31 Ogos depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.-KOSMO! ONLINE