fbpx

Separuh China dilanda kemarau buruk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bangkai ikan dirakam di tebing tasik air tawar terbesar yang surut di Jiujiang, wilayah Jiangxi, 23 Ogos lalu. - AFP

BEIJING – Separuh daripada semua wilayah di China mengalami kemarau buruk termasuk di Dataran Tinggi Tibet, demikian menurut data rasmi, dan dengan ramalan suhu lebih tinggi semalam, beratus-ratus juta penduduk kini menghadapi musim panas paling membahang dalam rekod.

Negara ekonomi kedua terbesar dunia itu dilanda fenomena gelombang haba, banjir kilat dan kini kemarau yang disifatkan saintis-saintis sebagai berlaku lebih kerap dan teruk berikutan perubahan iklim.

Bahagian selatan China merekodkan tempoh suhu tinggi berterusan terpanjang sejak rekod mula dicatatkan lebih 60 tahun lalu, kata Kementerian Pertanian minggu ini.

Pakar-pakar berkata, keterukan, skop dan tempoh masa gelombang haba boleh menjadikannya sebagai yang paling buruk pernah dicatatkan dalam sejarah.

Sebuah carta dikeluarkan Pusat Iklim Kebangsaan kelmarin menunjukkan  bahagian selatan negara itu termasuk Dataran Tinggi Tibet mengalami keadaan kemarau yang ‘teruk’ dan ‘luar biasa’.

Kawasan paling teruk terjejas adalah lembangan Sungai Yangtze, yang terbentang dari pantai Shanghai ke wilayah Sichuan, yang menempatkan lebih 370 juta penduduk serta memiliki beberapa hab pembuatan termasuk bandar mega Chongqing.

Suhu yang mencecah 45 darjah Celsius telah membuatkan beberapa wilayah melaksanakan langkah memotong bekalan kuasa industri ketika bandar-bandar bergelut untuk mengatasi lonjakan permintaan tenaga elektrik yang sebahagiannya disebabkan oleh penggunaan pendingin hawa oleh orang ramai.

Paras air Sungai Yangtze yang amat rendah turut memberikan tekanan kepada penjana-penjana kuasa hidroelektrik di wilayah tersebut.

Pentadbiran Meteorologi China meramalkan suhu terus tinggi sehingga 40 darjah Celsius di Chongqing dan wilayah-wilayah seperti Sichuan, Jiangxi dan Zhejiang.

Selain itu, Dewan Negara China kelmarin mengumumkan subsidi bernilai 10 bilion yuan (RM6.5 bilion) bagi membantu para pesawah yang terjejas dengan kemarau ketika pihak berkuasa memberi amaran mengenai ancaman buruk untuk musim menuai tahun ini.

China menghasilkan sendiri lebih 95 peratus daripada beras, gandum dan jagung yang digunakan negara itu, namun hasil tuaian yang berkurangan akan meningkatkan permintaan import untuk penduduknya. Ia seterusnya bakal memberikan tekanan kepada rantaian bekalan global yang sedia terbeban akibat perang Ukraine.

Keadaan itu menyebabkan pegawai-pegawai mendesak pemerintah melaksanakan ‘gabungan langkah-langkah untuk meningkatkan sumber air bagi melawan kemarau serta memastikan bekalan air minuman yang mencukupi untuk rakyat dan pertanian’.

Berita yang disiarkan stesen penyiaran tempatan, CCTV kelmarin memaparkan lori-lori membawa bekalan air kepada penduduk kampung yang menghadapi masalah kekurangan air minuman dan pertanian di kawasan pedalaman di Sichuan dan Chongqing.

Dalam pada itu, beberapa wilayah mendapat sedikit ‘kelegaan’ daripada gelombang haba tersebut dengan sebahagian kawasan barat daya Sichuan dilanda hujan lebat sepanjang malam kelmarin yang menyebabkan hampir 30,000 penduduk dipindahkan, lapor CCTV.

Di bahagian tenggara pula, Taufan Ma dilaporkan mendarat di wilayah Guangdong dan Hong Kong pagi semalam.

“Suhu tinggi secara dasarnya telah dikurangkan di wilayah-wilayah selatan seperti Jiangxi dan Anhui.

“Namun, suhu tinggi akan berterusan untuk tiga hari lagi di wilayah-wilayah termasuk lembangan Sichuan dan wilayah sekitar Shanghai,” kata Pentadbiran Meteorologi China. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN