BIARPUN dua kali dijangkiti virus Covid-19 sehingga paru-parunya mengalami kerosakkan sebanyak 20 peratus, penyanyi Datuk Aishah berjaya memukau penonton dengan vokal hebatnya pada Konsert Aishah & MPO: A Symphonic Rendezvous yang berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) baru-baru ini.
Bahkan konsert solo yang diiringi Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) bawah pimpinan konduktor Ahmad Muriz Che Rose membuktikan penyanyi yang terkenal dengan lagu Janji Manismu itu berada dalam kelas tersendiri.
Masakan tidak, pada usia 57 tahun, vokal Aishah tidak berubah, masih membikin bulu roma meremang saat mendengar nyanyiannya.
Sungguhpun begitu segala kesempurnaan di pentas DFP tidak datang dengan mudah, sebaliknya begitu banyak dugaan terpaksa dihadapi Aishah, termasuklah penangguhan selama dua tahun akibat pandemik Covid-19.
“Dua hari sebelum konsert selepas selesai raptai, saya jatuh terlentang ketika sampai di hotel. Mujur tiada kecederaan serius,” katanya.
Pengalaman selama 36 tahun sebagai penyanyi memberi kelebihan buat Aishah. Selepas membuai emosi penonton dengan deretan lagu malar segarnya, sesekali celoteh di atas pentas mengeletek hati penonton.
Tanpa perlu bantuan penari mahupun sebarang gimik, hanya muzik dan Aishah di atas pentas sudah cukup untuk penonton merasa puas.
Perjalanan seni
Mendendangkan 23 buah lagu, pemilik nama sebenar Wan Aishah Wan Ariffin itu menjelaskan repertoire persembahan disusun mengikut susur kariernya, bermula dengan zaman mencipta nama dengan kumpulan pop New Zealand, The Fan Club sekitar 1987, sehinggalah puncak kegemilangan (1990-an).
Anggun dalam persalinan Razman Razmi, Aishah sempat mendendangkan lagu yang jarang didendangkan dengan susunan muzik lebih segar.
Antara lagu yang dipersembahkan termasuklah, Kasih Kita, Kau Yang Istimewa Bayangan, Hening, Hanakage, Fatwa Pujangga, Kemaafan Dendam Terindah, Kau Sahabat, Kekasih Dan Teman, Camar Yang Pulang, Seloka Rindu, Janji Manismu dan Bahtera Merdeka.
Turut dipersembahkan secara medley seperti, Tiada Duka, Jari-Jariku Sakit Semua, Menanti Dan Malam, Sensation, I Feel Love dan Don’t Let Me Fall Alone.
Tidak cukup dengan itu, Aishah bermurah hati ‘belanja’ penonton dengan lagu raya berhantunya, Pulanglah secara acapella.
Bukan sahaja Aishah yang beremosi, malah 920 orang peminat yang hadir juga merasakan magis saat lagu raya popular itu bergema di segenap ruang dewan DFP.
Aishah turut membuktikan kerelevanannya sebagai penghibur apabila DFP tetap dipenuhi peminat tegarnya meskipun pada malam sama berlangsung dua konsert lain iaitu Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan Queen Of The Night Siti Nurhaliza di Hotel Royale Chulan, di ibu negara.
“Terima kasih kerana hadir dan terus memberi sokongan, andalah (peminat) kekuatan saya.
Konsert ini satu pengalaman yang baharu bukan sahaja untuk anda tetapi juga saya.
“Bukan sahaja peminat, tetapi hari ini seluruh perjalanan hidup saya berada di sini, sahabat daripada zaman kanak-kanak, sekolah, universiti, keluarga dan rakan-rakan di setiap zaman. Terima kasih,” ucap Aishah.