PUTRAJAYA – Malaysia selaku negara anggota OPEC+ melahirkan sokongan ke atas usaha produktif kumpulan itu bagi mengekalkan kestabilan pasaran harga minyak mentah sejagat.
Perkara tersebut disuarakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed sebagai mengulas isu situasi trend ketidaktentuan harga bahan bakar itu.
Mustapa menerusi satu kenyataan berkata, harga komoditi itu di pasaran antarabangsa masih belum stabil terutama susulan daripada pemulihan semula pasca pandemik Covid-19.
“Begitu juga tekanan inflasi yang meningkat dan kebimbangan kekurangan bekalan makanan, cabaran geopolitik dan perubahan iklim yang menjejaskan petunjuk ekonomi utama,” jelasnya hari ini.
Mengulas lanjut, Mustapa berkata, berdasarkan tinjauan prospek jangka panjang yang tidak menentu, Malaysia kekal berpendirian teguh terhadap komitmen bagi menyokong usaha OPEC+.
“Kelompok ini memiliki mekanisme yang mantap dalam mendepani cabaran pasaran termasuk sistem penyelarasan pengeluaran minyak dan terbukti pernah efektif sebelum ini,” jelas beliau.- KOSMO! ONLINE