fbpx

Mahkamah: Anak Mat Sabu kekal lepas, bebas penyalahgunaan dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Saiful Islam keluar dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika dilepas dan dibebaskan pada tahun lalu.

PUTRAJAYA – Anak bekas Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, Ahmad Saiful Islam, 34, kekal dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan di hari ini atas pertuduhan penyalahgunaan dadah di sebuah hotel tiga tahun lalu.

Keputusan sebulat suara itu (unanimous) dibuat tiga panel hakim yang diketuai Hakim Datuk Seri Kamaludin Md. Said yang turut bersidang bersama-sama Hakim Datuk M.Gunalan dan Hakim Datuk Hashim Hamzah.

Ketika membaca penghakimannya, Hakim Kamaludin berkata mahkamah telah mempertimbangan hujahan kedua-dua pihak dan tidak bersetuju dengan bantahan oleh pihak pendakwaan selaku perayu bahawa hakim Mahkamah Tinggi telah tersalah arah kerana membenarkan rayuan Ahmad Saiful.

“Mahkamah berpuas hati bahawa keputusan hakim Mahkamah Tinggi telah mempertimbangkan keterangan secara keseluruhan selain tiada keraguan dalam keputusan itu yang melepas dan membebaskan Ahmad Saiful yang mana ia keputusan itu adalah selamat. Oleh itu, rayuan pendakwaan ditolak dan keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan,” kata Hakim Kamaludin.

Dalam prosiding hari ini, perayu diwakili Timbalan Pendakwa Raya (TPR) K.Mangai manakala Ahmad Saiful Islam selaku responden diwakili peguam Datuk Nicholas Kow, Nasar Khan dan Emile Ezra Hussain.

Pada 27 Oktober tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Collin Lawrence Sequerah melepas dam membebaskan Ahmad Saiful Islam selepas membenarkan rayuan yang dikemukakan selaku perayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman tersebut.

Dalam penghakimannya, hakim itu berkata kegagalan pihak polis mematuhi “Garis Panduan” (Operasi Prosedur Standard) dengan tidak mengambil dua botol air kencing telah menyebabkan hukuman dan sabitan itu cacat.

Menurut Hakim Collin tindakan mengambil hanya satu ujian air kencing mendedahkan sampel kepada risiko untuk dicemari.

“Perintah Tetap Ketua Polis Negara (IGSO) F103 memerlukan dua botol plastik kosong dan bersih untuk mengumpul air kencing daripada suspek yang disyaki menyalahgunakan dadah,” katanya yang turut memerintahkan wang jaminan sebanyak RM9,000 dipulangkan semula kepada perayu.

Mengulas lanjut ketika membaca penghakimannya, hakim turut berkata satu botol adalah bagi tujuan saringan oleh pihak polis, manakala sampel kedua perlu dihantar ke hospital untuk pengesahan selepas botol pertama disahkan positif dadah.

Sebelum ini, pada prosiding terdahulu, peguam perayu berhujah bahawa pihak polis hanya mengambil satu sampel urin anak guamnya dan proses pengambilan sampel tersebut tidak mengikut peraturan serta terdapat percanggahan antara keterangan saksi pendakwaan berhubung sampel urin itu.

Sementara pendakwaan dalam hujahannya berkata, prosedur pengambilan sebotol sampel urin ke atas perayu (Ahmad Saiful Islam) adalah memadai dan teratur mengikut undang-undang.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Saiful Islam didakwa menggunakan dadah jenis THC di sebuah hotel di sini, pukul 2.05 pagi pada 5 Januari 2019.

Pada 2 Julai 2020, Ahmad Saiful Islam memfailkan rayuan terhadap keputusan Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim pada 24 Jun tahun sama yang mensabitkan perayu dengan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan menghukumnya dengan penjara selama lapan bulan.

Mohamad Aizat menjatuhkan hukuman itu terhadap Ahmad Saiful Islam selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI