IMPAK sambutan hebat yang diterima menerusi naskah Kampung Latah Kena Kuarantin tahun lalu, Astro First berbesar hati menyambung kisah komedi berkenaan dalam sekuel terkini, Kampung Latah…The Mummy.
Mula menemui penonton bermula 25 Ogos (semalam), filem komedi berkenaan masih mengekalkan barisan pelakon utama iaitu Azhan Rani, Nazia Mustafar, Ieda Moin, PS Mansur, Din Latah dan Riezman Khuzaimi.
Lebih menarik, sekuel kali ini menambah barisan pelakon hebat lain antaranya Adlin Aman Ramli, Bell Ngasri, Sharif Zero, Mamak Putih, Shashic Iewan, Achong Sweetchild, Jaafar Onn, Wanie Ooi, Souya, Along Kembo, Delimawati dan ramai lagi.
Kampung Latah…The Mummy menyaksikan jalan cerita berkonsepkan komedi seram juga mengembalikan Azizi ‘Chunk’ Adnan sebagai pengarah.
Jenaka dan mesej
Dari sudut jalan cerita pula, kelainan yang disajikan adalah kisah fiksyen berkenaan ‘mummy’ dengan melibatkan penyediaan prop dan busana yang teliti serta babak melibatkan teknik janaan komputer (CGI).
Pun begitu, biarpun berpaksikan komedi tetapi Kampung Latah…The Mummy turut menyelitkan mesej-mesej positif yang mampu dijadikan pengajaran buat penonton.
Menurut penerbit dan wakil syarikat produksi Megapine, Hazil Izham Ismail, pihaknya tidak teragak-agak menampilkan sekuel baharu selepas Kampung Latah Kena Kuarantin menerima sambutan positif dengan jumlah kutipan lebih RM1 juta.
“Menariknya sekuel kali ini memaparkan lebih aksi dan telatah komedi di samping mengekalkan konsep latah.
“Malah, kehadiran watak baharu yang dijayakan barisan pelakon popular menjadi satu cabaran buat pasukan produksi untuk menghimpunkan mereka dalam setiap babak.
“Kami berharap filem ini mampu menghiburkan semua golongan penonton sekali gus mengulangi pencapaian ‘box office’ menerusi saluran Astro First,” katanya.
Sedikit sinopsis untuk dikongsikan, Kampung Latah…The Mummy menyaksikan Kampung Latah kembali kecoh dengan bermacam gelagat penduduknya.
Kisah bermula apabila kerja-kerja pembinaan sebuah kompleks sukan terhenti selepas pekerja kontrak terjumpa keranda ‘mummy’.
Penduduk diganggu ‘mummy’ tersebut selepas kerandanya dibuka.
Seperti dalam prekuelnya, Ajin, Jamilah, Eton, Mansur dan Din perlu melakukan sesuatu unuk menghalang kuasa jahat tersebut. Kampung Latah…The Mummy boleh dilanggan menerusi saluran 480 Astro First, Astro Go atau On Demand.