PADANG BESAR – Jabatan Tanah dan Galian (JTG) Negeri Perlis mengambil tindakan pelucutan hak milik ke atas sembilan lot tanah yang mempunyai tunggakan bayaran cukai tinggi sekitar negeri ini.
Pengarah Tanah dan Galian Perlis, Ismasuhaimi Shariff berkata, semua lot tanah berkenaan dikenakan Notis Perkembalian Tanah Kepada Kerajaan (Notis 8A) sebagaimana termaktub di bawah Seksyen 100 Kanun Tanah Negara (Akta 828).
Menurut Ismasuhaimi, semua rampasan tanah berkenaan melibatkan tunggakan cukai bernilai RM545,336.61 membabitkan keluasan 26.195.0293 meter persegi.
“JTG Perlis memandang serius terhadap pembayar yang gagal menjelaskan tunggakan semasa cukai tanah mereka seperti yang ditetapkan sebelum ini,” katanya sewaktu turun padang bagi melakukan tindakan penguatkuasaan di dua lot tanah sekitar kawasan Chuping, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Ismasuhaimi berkata, isu tunggakan cukai tanah dianggap serius di negeri ini memandangkan jumlah semasa bayaran yang belum dilunaskan adalah sebanyak RM16.9 juta melibatkan 34,178 hak milik tanah.
Ujarnya, pada tahun ini, JTG juga telah mengeluarkan sebanyak 3,205 notis kepada pemilik tanah di seluruh negeri ini yang gagal membuat pembayaran tunggakan cukai berkenaan.
“JTG Perlis mengambil kesempatan untuk memberi peringatan kepada pemilik-pemilik tanah agar sentiasa memastikan cukai tanah dijelaskan pada masa ditetapkan,”katanya.
Tambah beliau, JTG Perlis juga mengambil pendekatan untuk berunding terlebih dahulu bagi membolehkan pihak yang mempunyai tunggakan membuat pembayaran secara ansuran mengikut kemampuan mereka. – KOSMO! ONLINE