PUTRAJAYA – Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) mencadangkan agar pindaan dilaksanakan terhadap empat peruntukan sedia ada bagi melancarkan proses pentadbiran estet kebankrapan sekaligus membantu individu bankrap untuk keluar daripada kebankrapan dengan segera.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, taklimat berhubung penambahbaikan undang-undang insolvensi itu telah dibentangkan oleh jabatan tersebut kepadanya semalam.
“Antara cadangan yang dibentangkan adalah penambahbaikan kepada peruntukan Seksyen 33C Akta 360 berkenaan pelepasan automatik bagi membantu lebih ramai bankrap dapat keluar daripada kebankrapan selepas tempoh tiga tahun.
“Mdl juga mensasarkan untuk menetapkan had masa bagi pemfailan Borang Bukti Hutang oleh pemiutang untuk mempercepatkan proses pelepasan kebankrapan atau pembatalan perintah kebankrapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Wan Junaidi, jabatan tersebut juga mencadangkan agar Mesyuarat Pertama Pemiutang dimansuhkan dan hanya perlu diadakan berdasarkan keperluan atau permintaan pemiutang bagi mengelakkan kelengahan serta perancangan seterusnya dapat dibuat untuk membantu bankrap keluar daripada kebankrapan.
“Cadangan turut melibatkan penambahan penggunaan baharu berkenaan teknologi komunikasi jarak jauh dalam urusan pentadbiran kebankrapan agar dapat membantu bankrap berurusan dengan Mdl secara dalam talian dan digital selain memudahkan pentadbiran kebankrapan.
“Fokus utama Mdl adalah untuk mempercepatkan proses pentadbiran kebankrapan dan membantu bankrap untuk keluar daripada kebankrapan dengan segera,” ujar beliau.
Wan Junaidi berkata, pihak Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) bagaimanapun perlu mengkaji cadangan pindaan tersebut dengan lebih terperinci terutamanya berkaitan implikasinya kepada orang ramai.
“Beberapa libat urus telah dicadangkan dengan pemegang taruh khususnya kementerian-kementerian berkaitan temasuklah kementerian yang mengawal selia syarikat, perusahaan kecil dan sederhana serta usahawan dalam kategori mikro sebelum cadangan itu dimuktamadkan dan dibawa ke Jemaah Menteri melalui satu Memorandum Jemaah Menteri (MJM).
“Susulan ambang keberhutangan ditingkatkan kepada RM100,000, statistik kes kebankrapan berdaftar menunjukkan pola penurunan di mana 12,051 kes pada 2019; 8,351 kes pada 2020; 6,554 kes bagi 2021 dan 3,604 pada 2022 setakat Julai,” jelas beliau.
Tambahnya, dari sudut peratusan pula, pengurangan berbanding tahun sebelumnya direkodkan sebanyak 26,88 peratus pada tahun 2019, 30.70 peratus pada tahun 2020 dan 21.52 peratus pada tahun 2021.
“Pola penurunan ini turut disebabkan oleh beberapa faktor lain termasuk inisiatif kerajaan melalui pemberian moratorium dan bantuan bersasar bank yang membolehkan pemiutang juga peminjam berbincang bagi membuat penyusunan semula hutang.
“Meskipun terdapat penurunan kes kebankrapan ketika ini, Mdl akan sentiasa meneliti jumlah serta punca kes kebankrapan yang difailkan oleh pihak pemiutang serta menambah baik Akta 360 bagi menjadikan pentadbiran kes kebankrapan lebih efisien,” ujar beliau. – KOSMO! ONLINE