TEHRAN – Seorang ahli bina badan yang digelar ‘Hulk Iran’ bertindak memadamkan berpuluh-puluh gambar yang disunting daripada akaun Instagramnya selepas dia mengalami kekalahan memalukan dalam pertarungan tinju, lapor portal berita MailOnline semalam.
Pesohor media sosial bernama Sajad Gharibi itu mempunyai lebih sejuta pengikut selepas mempamerkan badannya yang sasa dan memiliki berat sekitar 176.9 kilogram (kg).
Bagaimanapun, apabila dia memasuki gelanggang untuk menentang peninju digelar Kazakh Titan pada bulan lalu, pertarungan terpaksa dihentikan selepas dua minit apabila Gharibi tumbang.
Saiz badan Gharibi kelihatan tidak sebesar seperti dalam gambar di akaun media sosialnya, manakala penonton-penonton percaya dia sukar untuk bertahan apatah lagi menghayunkan tumbukan.
Sejak pertarungan itu, Gharibi telah memadamkan foto dirinya yang mempamerkan saiz badan luar biasa, lapor akhbar Daily Star.
Gambar dan video yang ditinggalkan hanya menunjukkan keadaan tubuh badan Gharibi yang lebih kelihatan seperti manusia normal.
Hanya 14 hantaran kekal dalam profil Instagramnya dengan sebuah video senaman angkat beratnya pada 30 Julai lalu.
Gharibi sebelum ini berkata, beliau akan menyertai perjuangan menentang Daesh dan menjadi senjata rahsia Barat menentang kumpulan pengganas itu. – Agensi