fbpx

Hujan musim panas Pakistan ragut 900 nyawa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wilayah barat daya Balochistan adalah salah satu daripada dua kawasan yang paling teruk terjejas. - CNN

ISLAMABAD – Sekurang-kurangnya 903 orang maut di Pakistan termasuk 326 kanak-kanak akibat hujan lebat dan banjir kilat pada musim panas kali ini, lapor stesen penyiaran CNN kelmarin.

Perkara tersebut disahkan oleh Menteri Perubahan Iklim, Sherry Rahman sambil beliau merayu bantuan antarabangsa dalam mengendalikan tragedi peralihan musim monsun itu.

“Beribu-ribu orang tidak mempunyai tempat tinggal dan makanan kerana bencana alam ini.

“Talian komunikasi juga telah terputus. Ia adalah situasi yang sangat serius,” kata Sherry pada laman Twitter.

Menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA), hujan monsun lebat dan banjir telah menjejaskan 2.3 juta orang di Pakistan sejak pertengahan Jun lalu.

Sekurang-kurangnya 95,350 rumah juga telah dilaporkan musnah, demikian menurut agensi kemanusiaan itu.

“Wilayah tenggara Sindh dan wilayah barat daya Balochistan adalah dua wilayah yang paling teruk terjejas dari segi korban jiwa dan infrastruktur,” tulis OCHA dalam satu kenyataan akhbar.

Selain itu, lebih 504,000 ternakan terbunuh dengan hampir kesemuanya adalah di Balochistan, manakala hampir 3,000 kilometer jalan raya dan 129 jambatan telah rosak sekali gus menghalang akses ke kawasan yang dilanda banjir.

Kelmarin, Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMA) berkata, lebih banyak pembiayaan antarabangsa diperlukan untuk bantuan banjir, pemulihan dan pembinaan semula infrastruktur yang rosak.

Sherry yang bercakap pada taklimat NDMA kelmarin menyamakan keadaan itu dengan rekod banjir pada 2010 namun berkata, kebanyakan penduduk di Balochistan, Punjab selatan, dan 30 daerah di wilayah Sindh berdepan bencana kemanusiaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Penduduk hanyut dibawa arus deras, ternakan dan tanaman rosak kerana mereka tidak bersedia dengan ketibaan musim monsun yang mengejut,” kata Sherry.

Dalam pada itu, China telah mengesahkan akan menyalurkan bantuan kemanusiaan kecemasan kepada Pakistan dengan kadar segera.

Bantuan tersebut termasuk 25,000 khemah bersama-sama dengan wang kecemasan berjumlah AS$300,000 (RM1.3 juta) untuk membantu kawasan yang dilanda banjir di Pakistan.

Pakistan mengalami musim hujan monsun setiap tahun tetapi tidak ada yang seteruk hujan pada musim panas kali ini. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI