fbpx

Hubungan Daniel Ricciardo, McLaren terlerai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RICCIARDO terpaksa meninggalkan McLaren lebih awal selepas pasukan itu mahukan perubahan pada barisan pelumba musim depan. – AFP

LONDON – Pelumba F1 dari Australia, Daniel Ricciardo ak­hirnya mencapai persetujuan untuk menamatkan kontrak lebih awal sekali gus ‘berpisah’ dengan pasukan McLaren apabila kempen Formula Satu (F1) berakhir pada musim ini.

Sebagai rekod, Ricciardo te­lah menyertai pasukan McLa­ren daripada Renault pada tahun lalu, tetapi gagal mempamerkan prestasi memuaskan selepas dibayangi pelumba muda, Lando Norris meskipun menjuarai Grand Prix (GP) Itali musim lepas.

McLaren dijangka bakal mengisi kekoso­ngan yang ditinggalkan Ricciardo dengan pelumba berbakat, Oscar Piastri yang kini menggalas tugas sebagai pelumba simpanan pasukan Alpine musim ini.

Kata Ricciardo, keputusan untuk menamatkan kontrak dengan McLaren adalah sesuatu yang pahit untuk ditelan kerana hasratnya masih mahu bersaing di peringkat tertinggi F1 pada musim depan.

“Setelah melakukan perbincangan panjang dengan pe­ngurusan, kami sepakat untuk membatalkan kontrak yang saya tandatangani sebelum ini lebih awal kerana mereka mahukan perubahan pada barisan pelumba untuk mengharungi musim depan.

“Meskipun pembatalan kontrak ini diumumkan lebih awal, saya berazam untuk memberikan yang terbaik buat McLaren sebelum memikirkan masa depan saya sama ada kekal bersaing dalam arena F1 atau sebaliknya,” katanya.

Difahamkan, Ricciardo mungkin bakal dirisik oleh pasukan Alpine pada kempen musim depan selepas pelumba veteran, Fernando Alonso mengambil keputusan untuk ‘angkat kaki’ menyertai pasukan Aston Martin selain Haas juga menyatakan minat mereka. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI