PETALING JAYA – Filem terbitan produksi tempatan, Eva mencipta sejarah sebagai filem pertama tanah air yang menjadi pemenang bulanan kategori thriller dan suspens anjuran Festival Filem Cannes 2023.
Eva arahan sutradara wanita, Suhaiza Aziz mengenepikan dua pencabar lain bagi kategori Julai tahun ini, Deadline terbitan Emiriah Arab Bersatu dan Ivy (Jerman).
Kemenangan tersebut sekali gus melayakkan Eva dicalonkan untuk bersaing bagi merebut trofi anugerah Filem Terbaik Kategori Thriller dan Suspen, selain ditayangkan pada Festival Filem Cannes yang dijadualkan Mei tahun depan.
Suhaiza berkata, pengiktirafan yang diraih pada acara tersebut didedikasikan kepada negara serta semua karyawan dunia perfileman tempatan.
“Saya tidak menyangka sama sekali filem Eva akan menang kerana mendapat saingan yang bukan calang-calang daripada filem terbitan Emiriah Arab Bersatu dan Jerman.
“Apabila tiba-tiba produser, Diyana Ismail, tunjuk poster yang Eva tercalon, kami semua terkejut.
“Tak sangka kami boleh ‘terbang’ sejauh ini. Tambahan lagi, ini adalah karya pertama saya sebagai pengarah.
“Ketika itu walaupun baharu tercalon, apabila nampak nama Malaysia, kami berasa bangga membawa nama negara,” katanya kepada KOSMO! Online.
Menurut Suhaiza, kemenangan itu bukan sahaja menjadi pemangkin menghasilkan karya terbaik, malah menjadi titik permulaan bagi mendalami lagi ilmu pengarahan.
Pada masa sama, wanita yang terbabit dalam dunia pengarahan sejak belasan tahun lalu berharap filemnya itu dapat mengulang kejayaan di penganjuran festival sana musim depan.
“Menang atau kalah adat pertandingan. Jika diberi peluang, saya akan terus membuat karya berkualiti dan memperbaiki kualiti pengarahan.
“Kejayaan filem ini diharap dapat memberi inspirasi kepada pengarah muda, terutama wanita. Saya berharap industri juga membuka ruang kepada pengarah muda untuk menggilap bakat serta kreativiti mereka,” katanya.
Filem terbitan D Alpha Legacy Sdn Bhd (M) itu membariskan pelakon seperti Nadia Aqila , Nadia Brian dan Shamsul Danish, selain Datuk Jalaludin Hassan , Tony Eusoff , Hasnol Rahmat , Sheera Iskandar , Jay Iswazir , Azrel Ismail , Zain Ruffedge , Isma Daniel dan Aleeza Kassim.
Karya berkenaan mengisahkan Eva, Amy dan Mike yang juga orang sama terperangkap dalam satu tubuh disebabkan trauma dialami sejak kanak-kanak.
Eva mempunyai seorang anak lelaki yang cuba memahami keadaannya dan kakaknya, Elly dapat bergelar peguam namun masih berdepan masalah kecelaruan personaliti.
Keadaan dirinya terus bertukar-tukar setiap masa iaitu berubah menjadi Amy, seorang pakar forensik dan Mike, pembunuh. – KOSMO! ONLINE