MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola tidak rela berdepan masalah besar sekiranya bersetuju untuk melepaskan Bernardo Silva ke Barcelona pada jendela perpindahan musim panas kali ini.
Walaupun mengakui Silva begitu mengimpikan untuk menyarung jersi Barcelona, Guardiola menegaskan tempoh masa yang ada ketika ini mungkin akan menyukarkan City untuk merealisasikan hasrat itu apabila perlu mendapatkan pemain baharu.
“Kami masih lagi mengiktiraf Bernardo dan saya tidak mahu dia meninggalkan pasukan. Dengan apa yang dilakukan, dia adalah seorang pemain berkualiti buat City.
“Seperti saya katakan, saya tidak mahu pemain berasa tidak gembira. Jika tawaran menarik hadir dan dia juga mahu keluar, kita lihat saja apa akan jadi.
“Namun, jika dia keluar daripada pasukan ketika ini, ia pasti menjadi masalah kerana jendela perpindahan akan ditutup tidak lama lagi,” katanya.
Sepanjang jendela perpindahan kali ini, Barcelona sudah pun berbelanja besar apabila membawa masuk Robert Lewandowski, Raphinha dan Jules Kounde.
Sementara itu, pengendali Barcelona, Xavi secara terang-terangan begitu berharap mampu membawa masuk Silva ke Camp Nou.
“Siapa yang tidak sukakan Bernardo Silva? Sama juga dengan Kevin De Bruyne dan Erling Haaland, namun buat masa ini belum ada sebarang berita mengenai perpindahannya.
“Dia adalah seorang pemain yang saya suka, namun segalanya bergantung kepada City,” ujarnya. – AGENSI