fbpx

Danial Chuer rasa dianaktirikan syarikat rakaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Danial terkilan dengan pihak syarikat rakamannya kerana tidak memberi peluang kepadanya untuk berkarya.

PETALING JAYA – “Saya rasa seperti dianaktirikan oleh syarikat rakaman sendiri. Mungkin itu istilah yang paling tepat menggambarkan situasi yang saya alami sekarang”.

Demikian luahan penyanyi berbakat besar, Danial Chuer apabila berkongsi rasa ralat dan terkilan terhadap syarikat rakaman naungannya, Aries Music yang dikatakan bersikap seperti lepas tangan terhadap kerjaya nyanyiannya.

Gara-gara sudah tawar hati untuk terus bernaung dibawah pengurusan syarikat rakam itu, Danial, 21, merancang untuk menarik diri dan mahu menamatkan kontrak lebih awal daripada menjadi artis naungan label tersebut.

“Seperti yang semua tahu, saya tidak lagi mengeluarkan single baharu selepas setahun keluar dengan single terakhir yang berjudul Bukan Aku pada tahun lalu.

“Saya sedang dalam perancangan untuk keluar daripada pengurusan syarikat rakaman Aries Music. Saya mahu keluar sebab bagi saya, tindakan itu (keluar) akan membuka lebih banyak peluang dan ruang untuk saya berkarya,” jelasnya.

Kata penyanyi kelahiran Tawau, Sabah itu lagi, dia berasa terkilan dengan cara pengurusan syarikat rakaman tersebut kerana didakwa langsung tidak memberinya peluang untuk keluarkan lagu-lagu yang diciptanya sendiri.

“Saya rasa ralat sebab label saya langsung tidak memberi peluang kepada saya untuk keluarkan lagu-lagu yang saya cipta sendiri.

“Rakan-rakan seperjuangan saya dalam program Big Stage masing-masing sudah ada lagu baharu, kecuali saya. Perkara itu memang membuatkan saya ralat.

“Saya sudah fikir panjang. Tahun ini adalah tahun kedua bersama label Aries Music dan berbaki setahun lagi. Namun saya sudah pun menyatakan hasrat untuk menamatkan kontrak lebih awal,” katanya.

Pada masa sama, pemilik nama lengkap Danial Chuer Hamasiah Samsudin itu teringin untuk menyanyikan lagu sendiri ketika membuat persembahan pentas berbanding menyanyikan lagu penyanyi lain.

Tambah Danial, setiap kali membuat persembahan, dia tidak mempunyai lagu sendiri untuk dinyanyikan selain menyanyikan lagu-lagu penyanyi lain terutama lagu ketika dia bertanding dalam Big Stage.

“Saya teringin nak nyanyi lagu sendiri. Sekurang-kurangnya kalau membuat persembahan adalah juga lagu milik saya dinyanyikan. Perasaan itu lain,” ujarnya.

Danial yang ditemui pada majlis Pelancaran Debut Album Sophia Zuhri di Hotel Royal Chulan di sini, baru-baru ini tidak serik untuk bernaung dibawah pengurusan syarikat rakaman lain kerana masih memerlukan sebuah label yang boleh membantu perjalanan karier nyanyiannya.

Sekadar info, Danial mula mencipta nama selepas menjuarai pertandingan Idola Kecil musim keenam dan Idola Kecil Ultra.

Danial kemudiannya menyertai pertandingan Vokal Mania serta Big Stage dan diumumkan sebagai naib juara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN