PETALING JAYA – Biarpun tidak lagi berkhidmat, bekas pengawal keselamatan Datuk Seri Najib Razak tetap dilihat setia berada di sisinya.
Menerusi perkongsian sebuah gambar di Facebook Najib, kelihatan Sub-Inspektor (SI) Alias Yahya turut berada di pekarangan mahkamah memberikan sokongan kepada bekas Perdana Menteri itu.
Lebih daripada itu, dua anak Najib iaitu Nooryana Najwa dan Norashman menyifatkan Alias sebagai seorang sahabat yang ikhlas.
“32 tahun bersama kami sekeluarga. Uncle (pakcik) Alias, bekas pengawal keselamatan Daddy (Najib).
“Dia sahabat. Dia ikhlas dan setia di sisi,” tulisnya ringkas dalam satu hantaran hari ini.
Dalam pada itu, rata-rata orang ramai memuji sifat ikhlas dan setia Alias dalam persahabatan lebih-lebih yang mengenalinya.
“Saya kenal Alias sejak saya kenal Najib lebih 15 tahun. Alias sangat ikhlas. Dia sentiasa bersama Najib senang dan susah,” kata R.S. Thanenthiran.
“Kesetiaan itu tiada nilainya. Terlalu berharga,” luah Farahiyah.
Difahamkan, Alias telah berkhidmat selama 28 tahun sehingga 2018 bagi menjaga keselamatan Najib dan keluarganya.
Dia kemudiannya meneruskan khidmat bersama Najib selama empat tahun lagi selepas bersara dengan polis pada 2018.- KOSMO ONLINE