SANTIAGO, Chile – Pembentukan awan misteri berwarna ungu di sebuah bandar di Chile menyebabkan penduduk tempatan dan pihak berkuasa menjadi keliru, lapor portal berita MailOnline semalam.
Awan cerah itu berlegar rendah di bandar Pozo Almonte, utara negara Amerika Selatan itu pada Ahad lalu.
Pihak berkuasa masih menyiasat fenomena tersebut dan percaya ia mungkin berpunca daripada kegagalan pam di loji mineral.
Awan yang menyebabkan kegusaran masyarakat itu dipercayai terbina daripada wap iodin.
Ia muncul dekat lombong Cala Cala yang dimiliki oleh Syarikat Saltpetre dan Iodine (Cosayach).
“Kami sedang melakukan pemeriksaan. Kejadian ini dipercayai disebabkan oleh kegagalan motor pam,” kata timbalan ketua wilayah Tarapaca, Christian Ibanez.
Pegawai alam sekitar, Emanuel Ibarra pula berkata, kegagalan pam itu menyebabkan iodin di lombong tersebut berubah daripada bentuk pepejal kepada gas.
“Sehingga kini, tiada kesan daripada sudut perubatan akibat daripada situasi yang kami alami.
“Kami juga berhubung dengan Superintendan Alam Sekitar supaya boleh menilai pemfailan aduan kerana ketidakpatuhan terhadap peraturan dan komitmen yang dibuat oleh syarikat dalam isul alam sekitar,” kata wakil wilayah Tarapaca, Daniel Quinteros.
Awan itu telah terurai tetapi pihak berkuasa kekal di lokasi tersebut selama 48 jam untuk memantau keadaan. – Agensi